Ibrahim Isa dan Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Ahmad Ismail


TERPAKSA menjadi penoreh getah selain pemandu teksi. Itu antara nasib kartunis berikutan bidang itu semakin malap dan kurang sambutan.

Antara yang menerima kesan adalah kartunis, Aziz Lewat, 49, yang pernah menjadi kartunis sambilan untuk majalah Gila-Gila dan beberapa komik serta akhbar.

Dia yang menggunakan nama pena Biskot pernah menjadi kartunis pada era 1990-an sebelum industri majalah dan komik hiburan semakin kurang sambutan berikutan perkembangan media sosial.

Susulan itu dia terpaksa menukar kerjaya sebagai pemandu teksi sejak 2000 selepas mendapati bidang seni diceburi kian suram.

Dia yang kini menetap di Kampung Simpang Jabi di sini, memaklumkan memulakan karier seni pada 1986 selepas hasil karyanya berjaya meraih saguhati RM60 selepas disiarkan sebuah majalah.

“Ketika menjadi kartunis dan pelukis karikatur, saya amat menitik beratkan hasil. Ayat atau dialog harus ringkas, padat dan menepati mesej yang mahu disampaikan.

PUTRA terpaksa memilih kerjaya baharu sebagai penoreh getah selepas sukar mencari makan dengan melukis.
PUTRA terpaksa memilih kerjaya baharu sebagai penoreh getah selepas sukar mencari makan dengan melukis.

“Daya kreativiti amat penting bagi menarik minat pembaca ketika itu yang gemarkan hasil lukisan kartun lucu dan menghiburkan,” katanya.

Namun, perubahan teknologi maklumat dan Internet sekitar awal 2000 menyebabkan industri komik, bahan bacaan ringan, majalah hiburan dan ruang kartun di akhbar semakin terhad.

“Ramai membaca komik di skrin telefon pintar atau komputer menyebabkan jualan penerbitan komik tempatan merudum.

“Saya yang mempunyai empat anak akhirnya mengambil keputusan pulang ke kampung halaman dan bekerja sebagai pemandu kereta sewa sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya, dia membawa kereta sewa itu di sekitar daerah ini termasuk menghantar pelanggan hingga ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Dengan pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM1,900 sebulan, ia cukup untuk menampung kehidupan saya sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, minatnya terhadap bidang melukis kartun dan karikatur tidak pernah luntur, malah sanggup mencurahkan bakti kepada kolej atau sekolah yang mahu mendapatkan khidmatnya.

AZIZ memandu kereta sewa sepenuh masa.
AZIZ memandu kereta sewa sepenuh masa.

Sementara itu, seorang lagi kartunis, Putra Muhammad, 41, menjadi penoreh getah selepas kerjaya diminati itu terpaksa ditinggalkan atas faktor sama.

Dia yang menggunakan nama pena Putra pernah menjadi pelukis untuk komik Anak-Anak Sidek pada 1999 sebelum menamatkan kerjaya di majalah komik Ana Muslim.

“Sejak empat tahun lalu, saya memutuskan untuk menjadi penoreh getah di kebun seluas dua ekar di Kampung Paya Besar di sini.

“Walaupun pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, saya bersyukur mampu menyara keluarga. Malah, sekali sekala masih menyumbang idea dan ilustrasi untuk majalah tempatan,” katanya.

Dia memberitahu punca kemalapan kartun dan karikatur disebabkan golongan remaja lebih berminat membaca komik Hong Kong dan manga dari Jepun.

Bagaimanapun katanya, komik kanak-kanak berunsurkan Islamik masih mendapat tempat dalam kalangan pembaca tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 7:30 AM