TEKO porselin biasa menjadi luar biasa selepas digarap lukisan indah.
TEKO porselin biasa menjadi luar biasa selepas digarap lukisan indah.
Zaitie Satibi

Garapan seni porselin yang sarat keunikan tersendiri antara pelengkap dekorasi dan mudah disuai padan dengan pelbagai konsep ruang.

Lantas melukis porselin juga antara minat yang kian menular dalam kalangan penggemarnya.

Peluang mengunjungi kelas melukis porselin di galeri Gift & Thing, SACC Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini sudah cukup memberikan gambaran seni itu mempunyai ramai peminat khususnya wanita.

Pemilik nama Kamariah Hamdan, dilihat begitu mahir apabila jari-jemarinya bergerak lincah menterjemah bakat seni yang terpendam atas permukaan bekas porselin membuatkan hasilnya begitu halus dan dikagumi.

Asalnya sekadar hobi, namun minatnya semakin menebal hingga gigih menggilap kreativiti dalam melukis dan mewarna porselin.

Kamariah diperkenalkan kepada seni lukisan porselin oleh ibu saudaranya seorang pelukis porselin, Puan Sri Zaleha Arshad, yang membuka kelas melukis porselin berkenaan.

KELAS melukis porselin yang dibuka sejak dua tahun lalu menerima sambutan orang ramai yang mencari hobi baru.
KELAS melukis porselin yang dibuka sejak dua tahun lalu menerima sambutan orang ramai yang mencari hobi baru.

“Bagi saya melukis porselin bukan sekadar hobi kerana aktiviti ini juga sebagai satu bentuk terapi berikutan ia boleh memberikan ketenangan.

“Menghasilkan lukisan porselin juga dapat mengurangkan tekanan kerana ketekunan untuk menyiapkan sesuatu karya akan membuatkan kita terlalu asyik hingga lupa seketika masalah lain,” katanya.

Beliau melukis pada permukaan apa saja produk porselin seperti teko, pinggan, mangkuk, cawan, dan pasu. Sementara motif lukisan pula lebih banyak bercorak bunga-bungaan seperti mawar, orkid, lili, matahari dan daisi.

SALBIAH menunjukkan karya seni yang dihasilkan pada pinggan porselin.
SALBIAH menunjukkan karya seni yang dihasilkan pada pinggan porselin.

Malah Kamariah mengakui begitu puas apabila sebahagian kraf lukisan porselinnya digunakan untuk tujuan amal apabila hasil jualan didermakan kepada badan kebajikan.

Bagi menghasilkan kraf lukisan porselin, pelukis sama ada membuat lakaran garisan motif terlebih dulu atau terus membuat lukisan. Produk porselin akan dibakar pada suhu tinggi untuk mengeringkan lukisan.

Selepas disejukkan, porselin akan dilukis atau diwarnakan sebelum dibakar sekali lagi. Peringkat seterusnya adalah mewarnakan pembayang dan dibakar lagi untuk membolehkan warna diserap pada porselin.

BEKAS porselin dilakar terlebih dulu sebelum dilukis dan diwarnakan.
BEKAS porselin dilakar terlebih dulu sebelum dilukis dan diwarnakan.

Warna pada produk porselin tidak akan luntur, malah selamat digunakan pada perkakas makanan.

Sementara itu, suri rumah, Salbiah Mat Nor, yang berpengalaman melukis porselin selama lebih 10 tahun mengakui jatuh cinta dalam seni kraf ini selepas tertarik dengan keindahan lukisan pada perkakas porselin yang setiap satunya memberikan kelainan.

“Selepas anak sudah besar dan masing-masing boleh menguruskan keperluan sendiri, saya mula mencari hobi bagi mengisi masa lapang. Seorang rakan kemudian mempelawa saya menyertai kelas melukis porselin yang dikendalikan Puan Sri Zaleha ini.

“Minat yang mendalam juga mendorong saya mencungkil bakat seni melukis dalam diri.

SET minum petang daripada kraf lukisan porselin.
SET minum petang daripada kraf lukisan porselin.

Pada peringkat permulaan belajar melukis memang agak susah kerana langsung tiada asas.

“Namun, saya melatih kemahiran melukis dengan banyak membuat lakaran dan kini ‘ketagih’ membuat lukisan porselin, malah sudah menghasilkan ratusan karya pada perkakas porselin yang kebanyakannya dijadikan hiasan di rumah,” katanya.

Salbiah juga lebih gemar melukis pada teko berbanding produk porselin lain, malah turut memperuntukkan almari khas bagi menyimpan koleksi kesayangannya itu.

ANTARA seni lukisan pada produk porselin .
ANTARA seni lukisan pada produk porselin .

“Saya seronok kerana setiap kali melukis boleh bermain dengan warna dan mencurah daya kreatif. Selain bunga, saya juga melukis motif serangga dan kerang-kerangan.

“Selain perhiasan di rumah, perkakas porselin ini turut menjadi kegunaan harian terutama ketika tetamu datang. Saya gembira apabila mereka memuji karya seni pada produk porselin yang dihasilkan sendiri itu.

“Malah, ada yang berminat untuk membeli, tetapi saya tidak menjual sebaliknya menghadiahkan kraf porselin itu,” katanya yang masih mengikuti kelas melukis porselin untuk menambah ilmu baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 8:36 AM