AALIYAH ketika ditemui di UM.
AALIYAH ketika ditemui di UM.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Masalah hilang fokus dan tumpuan tidak pernah membataskan Aaliyah Batrisya Shariff Munawar, 16, dalam meneruskan minat melukis karikatur dan watak animasi Jepun.

Remaja menghidap Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) ini berkata, dia kini menyimpan 100 keping lukisan termasuk 20 bermotifkan pemandangan, abstrak dan corak bebas.

“Saya amat gemar melukis. Pada mulanya cuma conteng-conteng saja tapi lama-kelamaan ia menjadi hasil seni yang cantik.

“Watak animasi pertama yang saya lukis ialah Doraemon, diikuti Naruto, Tokyo Girls dan Shin-chan,” katanya, ketika ditemui di Universiti Malaya (UM), di sini, baru-baru ini.

Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Selangor ini berpendapat, karikatur atau anime dari Jepun itu memberi inspirasi dalam membantu peminatnya menjadi lebih kreatif dan tampil dengan lebih berkeyakinan.

KOLEKSI animasi lukisannya.
KOLEKSI animasi lukisannya.

“Sebagai penghidap ADHD, saya menggunakan lukisan sebagai platform untuk meluahkan perasaan dan emosi.

“Bila siap satu lukisan saya berasa tenang. Setakat ini, saya juga mempunyai karakter anime asli yang saya namakan sebagai Daven,” katanya.

Anak sulung daripada enam adik-beradik yang turut mengalami masalah diskalkulia (masalah pembelajaran membabitkan kemahiran pengiraan) ini berkata, idea untuk melukis biasanya datang secara spontan.

“Kadang-kadang sedang dengar lagu pun saya boleh lukis atau ketika guru mengajar dalam kelas tangan saya disembunyikan bawah meja akan melukis apa yang digambarkan dalam kepala.

“Melukis ini umpama satu terapi buat saya kerana turut mengalami masalah kemurungan,” katanya.

Aaliyah Batrisya berkata, setiap lukisan yang dihasilkan bernilai tinggi baginya dan disimpan sebagai koleksi peribadi.

“Ada juga yang sudah saya jadikan sebagai komik pendek. Saya paling suka watak yang berciri gelap berbanding berkisarkan cinta.

“Tema lain pilihan saya ketika melukis adalah yang berkaitan dengan buku sains fiksyen,” katanya.

AALIYAH bersama koleksi lukisannya.
AALIYAH bersama koleksi lukisannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:35 AM