BELL Ngasri di Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 di Istana Budaya. FOTO ASWADI ALIAS
BELL Ngasri di Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 di Istana Budaya. FOTO ASWADI ALIAS
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Antara sorotan kejayaan penggiat seni tanah air yang boleh dianggap fenomena luar biasa tahun ini, pastinya kemenangan diraih pelakon, pelawak dan pengacara, Bell Ngasri, 43.

Rezeki yang sering dikatakan 'tidak pernah salah alamat' itu membawa Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya pada 22 Julai lalu.

Berpaksikan perjuangan seni yang kekal bertahan hingga kini, nikmat populariti itu diakui Bell datang kepadanya sekelip mata selepas 37 tahun berhadapan cabaran, susah-payah dan pengorbanan tanpa jemu dilakukannya.

Menurut bapa tiga anak ini, dia hanya mampu bersyukur kepada Allah dan mengucapkan terima kasih berterusan yang tidak terhingga buat semua rakyat Malaysia yang sudi mengundinya di acara hiburan berprestij itu.

"Terima kasih pada semua yang sudah mengundi saya. Jujur diakui, saya memang tak akan melupakan jasa kalian semua sampai bila-bila. Menerusi kejayaan itu, ia memberi saya semangat untuk lebih bekerja keras lagi.

"Ini kerana semacam ada tanggungjawab untuk saya terus berusaha buat yang terbaik sebagai selebriti, dalam industri seni, melakonkan cerita-cerita bagus dan secara tidak langsung buat apa saja yang rakyat Malaysia suka," katanya.

Bell yang juga anak kepada pasangan pelakon era 1980-an, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar ini berkata, dia tidak akan angkat kaki meninggalkan karier seni selagi ada permintaan dan mendapat sokongan ramai.

"Saya tidak akan tinggalkan karier seni ini sebab sokongan rakyat Malaysia. Kalau ikutkan adik-beradik saya yang dulu semuanya aktif berlakon, mereka sekarang sudah mengubah langkah yang lain sebagai ahli perniagaan, menceburi politik dan sebagainya.

"Oleh itu, harapan saya semoga 2024 ini akan menjadi tahun lebih baik lagi buat saya berbanding tahun-tahun sebelumnya, termasuk kejayaan diperolehi ini tidak berhenti setakat di sini saja.

"Biarlah 2023 menjadi permulaan, manakala kedatangan 2024 pula membawa kepada pencapaian lebih baik yang boleh saya dapat. Insya-Allah, dengan sokongan berterusan diterima daripada rakyat Malaysia akan mendorong saya lebih bersemangat dalam bekerja," katanya.

Bell berkata, memang sudah menjadi niatnya juga sejak di awal pembabitan hidup dalam bidang seni untuk menggembirakan rakyat Malaysia dan atas sebab itu, dia tidak terlalu memilih watak serta sedia muncul dalam acara besar walaupun dirinya diletakkan cuma duduk di celah program sewaktu iklan.

"Sebenarnya, niat saya sejak di awal pembabitan hidup dalam bidang seni ini adalah nak menggembirakan rakyat Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya Allah datangkan watak Barkoba dan 'yak yak yeay' menerusi satu karya menarik arahan Allahyarham Mamat Khalid yang mencetus fenomena.

"Apapun, prinsip saya mudah iaitu selagi orang nak, selagi orang suka, Insya-Allah saya akan ada sentiasa terus bersama-sama rakyat Malaysia," katanya.

Bell yang terkenal dengan 'geng plastik hitam' dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa kerana menjadi lelaki yang malas berpuasa, berkata, jadual kerjanya padat dengan tawaran berlakon diterima yang tidak putus.

"Contohnya, saya sudah pun siapkan naskhah 19 Puasa dan saya juga terbabit dengan drama Cerita Rakyat yang disiarkan di Astro Ceria untuk kanak-kanak yang saya tahu mereka (si cilik) turut ada mengundi saya.

"Jadi, saya buat sajalah cerita Hikayat Nujum Pak Belalang itu dan pementasan teater kanak-kanak juga saya sertai baru-baru ini walaupun sebenarnya jarang buat. Semua itu dilakukan sebab nak bagi peluang antara saya dengan peminat dapat saling bertemu," katanya.

Pada kemuncak acara ABPBH35 lalu, Bell turut memenangi anugerah Artis Komedi Popular, selain pernah merangkul trofi Aktor Pembantu Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 1988 menerusi drama Pa'e.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 6:55 AM