Bell Ngasri terkenal dengan watak Barkoba dinobatkan Artis Komedi Popular. FOTO NSTP
Bell Ngasri terkenal dengan watak Barkoba dinobatkan Artis Komedi Popular. FOTO NSTP
Farihad Shalla Mahmud


Kuala Lumpur: Topik berkaitan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang mengangkat artis serba boleh 'otai', Bell Ngasri, 43, sebagai Bintang Paling Popular, diumum Berita Carian Google Teratas di Malaysia sepanjang 2023.

Mengikut analisis Google Trends, sehingga hari ini, topik berkaitan ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni yang disiarkan secara langsung TV3 dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pada 21 Julai lalu, masih menduduki carta teratas dalam carian enjin gergasi itu.

Antara lain, faktor fenomena 'Barkoba', iaitu watak lelaki malas berpuasa dibawa Bell dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa di Kampung Pisang serta kontroversi pemegang trofi Penyampai Radio Popular ABPBH 35, Tyzo, yang ditamatkan kontrak oleh pengurusan stesen radio, Suria FM, iaitu kira-kira lima bulan selepas memenangi gelaran itu, menjadi penyumbang kepada peningkatan carian pelayar internet kepada ABPBH 35.

Sebelum ini, dilaporkan malam kemuncak ABPBH 35 yang diajaibkan penaja utama, Fellera Skin, merekodkan 5.6 juta tontonan di TV3, ketika disiarkan pada 21 Julai lalu.

Bell Ngasri memenangi Anugerah Bintang Paling Popular. FOTO NSTP
Bell Ngasri memenangi Anugerah Bintang Paling Popular. FOTO NSTP

Acara berprestij itu yang disiarkan secara langsung TV3 dan strim 'live' Tonton, merekodkan 2.9 bilion capaian menerusi platform digital selama tujuh hari mulai 17 Julai lalu.

Mencatat satu lagi kejayaan, ABPBH 35 yang menghimpunkan calon Top 5, hos, penyampai trofi dan artis membuat persembahan dalam kalangan bintang legenda dan bakat baharu platform digital, dilapor merekodkan 439,634 tontonan ketika penstriman langsung dari segmen karpet merah hingga persembahan malam kemuncak di Tonton.

TV3 dalam kenyataan dilapor menyebut, semua data membabitkan tontonan dan capaian digital ABPBH 35 diperoleh daripada sumber Nielsen, Meltwater dan Tonton.

Selain trofi Bintang Paling Popular, Bell yang menjadi calon 'favourite' netizen sejak pusingan awal ABPBH 35, diumum pemenang kategori Artis Komedi Popular menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.

Bagi kategori Bintang Paling Popular, Bell membawa pulang trofi, kotak eksklusif Fellera Skin X ABPBH 35 dan pakej umrah tajaan Fellera Skin.

Pada malam kemuncak ABPBH 35, pemenang 12 kategori utama diumumkan iaitu BBNU Lelaki Popular dimenangi Amir Ahnaf; BBNU Wanita Popular (Anna Jobling); Penyanyi Lelaki Popular (Khai Bahar); Penyanyi Wanita Popular (Aina Abdul) dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (Dolla).

Turut meraih trofi, Aktor Filem Popular dimenangi Beto Kusyairy; Aktres Filem Popular (Sophia Albarakbah); Aktor TV Popular (Meerqeen); Aktres TV Popular (Anna Jobling) dan Pengacara TV Popular (Elly Mazlein).

Selain itu, pemenang tujuh kategori sampingan, Ekstra! diumumkan, iaitu Couple Drama Popular dimenangi Meerqeen dan Anna Jobling menerusi drama Melur Untuk Firdaus; Couple Filem Popular (Datuk Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa menerusi filem Dekatnya Cinta); Drama Popular (Melur Untuk Firdaus) dan Lagu Paling Boom (Terus Hidup/Aina Abdul).

Turut mencipta kejayaan, Content Creator Popular dimenangi Alieff Irfan; TikTokers Popular (Sally Whoo) dan Lawak Viral Popular (Syahmi Sazli, Asif dan Yoe Parey).

ABPBH 35 menghadiahkan Anugerah Khas Ekspresi Legasi Seni ABPBH 35 kepada aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh dan Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH 35 kepada penyanyi Malaysia mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna atau nama sebenar, Yunalis Mat Zara'ai.

ABPBH 35 dikendalikan pengacara Johan dan Ain Edruce.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:26 PM