Suraya Roslan dan Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah meraung menangis dan sujud syukur selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, pada September 2021.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap pengasas 'Bapakku FM' itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Muhammad Jamil dalam alasan penghakiman berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah dalam beg itu milik tertuduh, manakala bilik dadah itu ditemui boleh diakses ramai orang.

ISMAHALIL Hamzah. FOTO arkib NSTP
ISMAHALIL Hamzah. FOTO arkib NSTP

Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:36 PM