ISMAHALIL bersama ibunya, Salbiah saling berpelukan menerusi video dikongsi isterinya, Nor Haslinda di Facebook.
ISMAHALIL bersama ibunya, Salbiah saling berpelukan menerusi video dikongsi isterinya, Nor Haslinda di Facebook.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kerinduan selama dua tahun bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah, 50, terhadap ibunya, Salbiah Mat Noor, 88 kini terubat dengan pertemuan menyayat hati dua beranak itu di kampungnya di Sepang, Selangor, hari ini.

Menerusi perkongsian video di akaun Facebook isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abd Manaf, 48, memaparkan anak-beranak itu saling berpelukan erat bagi melepas kerinduan yang sarat dengan linangan air mata mengalir tanpa henti.

Lebih memilukan lagi, suasana sedih dan hiba itu amat dirasai dengan latar lagu Air Mata Ibu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mana bait liriknya cukup membawa maksud mendalam dan begitu terkesan.

Nor Haslinda dalam catatannya, mengucap syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada barisan peguam yang berjuang membantu suaminya sehingga berjaya dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin lalu.

"Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih kepada peguam dan 'team' (pasukan) yang lain kerana pulangkan anak ini bertemu ibunya. Terima kasih keluarga, kawan-kawan yang sentiasa membantu dan memberi kata semangat. 

"Terima kasih untuk diri sendiri juga kerana dapat harungi dugaan ini. Selamat menyambut Maal Hijrah," tulisnya pada kapsyen video berserta dengan tanda pagar, #tahunbarubukubaru.

Selepas dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, Ismahalil yang ditemui media berkata, dia mahu mengotakan janji kepada arwah bapanya untuk menjaga ibu tercinta yang kini kurang sihat dan menetap di Sepang.

"Perkara pertama yang ingin saya lakukan selepas dibebaskan adalah berjumpa emak di kampung yang kini sakit dan kurang sihat.

"Saya nak balik kampung untuk jumpa emak. Saya ingin menjaganya (emak) kerana sudah berjanji pada arwah ayah. Lagipun sudah dua tahun saya tak jumpa emak," katanya.

Sebelum ini, Ismahalil berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, dua tahun lalu dan keputusan pembebasan kelmarin dibacakan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Pada 21 Februari lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Terdahulu, Ismahalil didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:16 PM