ISMAHALIL, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
ISMAHALIL, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiada sejadah, telekung, pengecas kabel telefon bimbit ditemukan di dalam bilik di tingkat satu di Jalan Semarak, di sini, iaitu lokasi penemuan beg milik bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah mengandungi dadah seberat 374.6 gram, yang turut didakwa menjadi tempat rehat juruhebah radio lain.

Perkara itu dimaklumkan saksi pembelaan kelima, Norfatiha Sukor, 35, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad dan mengesahkan gambar di tempat kejadian yang ditunjukkan kepadanya tidak mempunyai barangan itu sekali gus bercanggah dengan pernyataan saksinya.

Noor Dayana: Tengok eksibit P-7(J), saya katakan tidak ada peninggalan beg, tiada langsung pengecas telefon yang menunjukkan betapa ramainya orang dalam bilik itu

Norfatiha: Tidak setuju.

Noor Dayana: Tengok P-7(J), sekali lagi saya tanya, tidak ada sebarang peninggalan beg komputer riba, beg tangan atau beg galas, tengok gambar ini, jangan tipu, tengok gambar ini, ada tak kain sembahyang, sejadah, beg tangan, pengecas telefon bimbit, puan jangan menipu dalam mahkamah, tengok betul-betul, kita semua ada gambar ini.

Norfatiha: Tiada (kain sembahyang, pengecas telefon bimbit, sejadah)

Noor Dayana kemudian berkata keterangan Norfatiha pada hari ini adalah rekaan dan kehadirannya di mahkamah sebagai saksi hari ini hanya untuk menolong Ismahalil yang juga majikannya.

"Saya katakan bilik ini kegunaan peribadi untuk Ismahalil bungkus dadah itu," soal Noor Dayana.

Norfatiha menidakkan kenyataan itu dengan menjawab tidak bersetuju.

Dalam pernyataan saksi, Norfatiha berkata, bilik rehat itu menjadi bilik juruhebah, kru Bapakku FM, dan kawan tertuduh termasuk dirinya untuk melepak, tidur, solat dan mengecas telefon bimbit.

"Sejujurnya saya juga secara kebiasaannya akan berehat dalam bilik itu dan tidur.

"Sepanjang ingatan saya, juruhebah atau kru Bapakku FM yang bertugas juga ada meninggalkan barang peribadi dalam bilik itu seperti pakaian harian yang di simpan dalam almari disediakan," katanya.

Selesai keterangan Norfatiha, peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Ismahalil memaklumkan pihak pembelaan menutup kesnya.

Ia selepas lima saksi pembelaan termasuk Ismahalil sendiri selesai memberi keterangan selain pihak pembelaan tidak lagi mempunyai saksi lain.

"Yang Arif pihak pembelaan menutup kes," kata peguam itu.

Justeru Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 14 Jun ini sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pembelaan.

Nasib Ismahalil juga sama ada disabitkan atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah akan diketahui di Mahkamah Tinggi pada 17 Julai ini.

Mengikut pertuduhan, Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semalam Ismahalil yang juga saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak di sini iaitu tempat dadah ditemui ketika serbuan polis bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Pengasas `Bapakku FM' itu menjelaskan, bilik itu turut digunakan oleh sekumpulan juruhebah dan kru stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk ke udara selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Pada Februari lalu, Ismahalil diperintah membela diri atas pertuduhan itu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 4:09 PM