ISMAHALIL Hamzah (tengah) berpelukkan bersama isteri dan anaknya selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
ISMAHALIL Hamzah (tengah) berpelukkan bersama isteri dan anaknya selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio yang juga pengasas Bapakku FM, Ismahalil Hamzah, meminta pendengar setia radionya untuk memberikannya sedikit waktu sebelum kembali bersiaran. 

Isma, 50, berkata, dia juga akan kongsikan kisah-kisah sepanjang dua tahun dia berada di dalam penjara. 

"Insya-Allah, berikan saya sedikit masa untuk merawat diri. Kalau dua tahun anda boleh bersabar, berilah saya masa untuk pulih sedikit. Mungkin sebulan. 

"Saya akan pulun cukup-cukup. Saya akan cerita kisah-kisah saya yang orang tak tahu, mengenai apa yang berlaku di dalam penjara. Saya berjumpa dengan Yasin (Sulaiman), saya berjumpa dengan pelbagai kawan lagi. 

"Kalau nasib saya, hampir dua tahun di Sungai Buloh, ada lagi yang lebih lama menunggu untuk mengetahui nasib mereka," katanya kepada Harian Metro. 

Ditanya mengenai nilai kepercayaan buat dirinya selepas terpalit dengan kontroversi membabitkan jenayah sebegini, Isma berkata, dia akan lebih berhati-hati. 

"Ini semua kerja Allah, kerana Allah yang menggerakkan (hati) kepercayaan itu kepada sesiapa. Cuma, saya kena berhati-hati selepas ini. Insya-Allah," katanya. 

Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 2:59 PM