Lebuh raya jadi litar mat rempit.
Lebuh raya jadi litar mat rempit.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak 19 laluan dan lokasi di Lebuhraya Plus seluruh negara dikenal pasti menjadi litar lumba haram dalam kalangan geng rempit'.

Lokasi dikenal pasti membabitkan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang, Laluan Juru-Sungai Dua, Laluan Sungai Petani Selatan-Bertam, Laluan Pendang-Gurun, Laluan Alor Pongsu- Bandar Baharu dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Turut tersenarai laluan Senawang-Seremban, laluan Ayer Hitam-Machap, sekitar Hentian Sebelah Kulai (arah Selatan), laluan Skudai-Bukit Amber, Persimpangan Dato' Onn-Persimpangan Pandan, Persimpangan Bukit Indah- Persimpangan Nusa Bayu, sekitar kawasan Bandar Pulai Jaya, laluan Bukit Raja-Shah Alam, laluan Sungai Besi- Bangi, laluan Nilai-Seremban, laluan Kuala Kangsar-Rawat & Rehat (R&R) Sungai Perak dan sekitar laluan Plaza Tol Ipoh Utara.

Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Malaysia Bhd Mohd Yusuf Abdul Aziz, pihaknya memandang serius aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di Lebuhraya Plus.

Menurutnya, pihak Plus dan agensi penguatkuasaan aktif menjalankan operasi membanteras aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di kalangan penunggang motosikal membabitkan beberapa laluan utama di lebuh raya Plus.

"Pasukan Plus kini aktif menyertai operasi bersama dengan agensi penguatkuasaan. Ia membabitkan penyertaan anggota PLUSRonda serta kakitangan operasi dan keselamatan trafik yang bertugas di pejabat seksyen kami sepanjang Lebuhraya Plus.

"Kolaborasi Plus bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi penguatkuasaan berkaitan sedia terjalin sejak dahulu lagi," katanya.

Menurutnya, secara purata, lebih 200 operasi bersama dijalankan sejak 2021 merangkumi operasi Op Bersepadu, Op Halangan, Op Lorong Kecemasan, Op Rempit dan sebagainya.

"Daripada jumlah itu, 10 operasi bersama agensi penguatkuasaan dijalankan sejak Januari lalu sebagai usaha membanteras mat rempit, lumba haram dan samseng jalan di Lebuhraya Plus.

"Sejak awal tahun, Plus bersama agensi penguatkuasaan giat mengadakan operasi bersama membabitkan di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Juru-Sungai Petani Selatan, Senawang-Seremban dan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH)," katanya.

Mohd Yusuf berkata, Plus komited dan berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan untuk mengadakan operasi membanteras aktiviti sedemikian dengan lebih kerap.

"Langkah akan dilakukan secara berterusan demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

"Orang ramai yang melihat kegiatan samseng jalanan boleh berkongsi maklumat melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 selain melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.

PIHAK berkuasa memandang serius lokasi dan laluan di Lebuhraya Plus seluruh negara yang menjadi litar lumba haram.
PIHAK berkuasa memandang serius lokasi dan laluan di Lebuhraya Plus seluruh negara yang menjadi litar lumba haram.

'Jerat' menunggu di sekitar plaza tol

'Kepung' laluan lebuh raya dan sekitar plaza tol bertujuan menghalang kegiatan geng lumba haram serta penunggang motosikal yang tidak mengikut peraturan.

Tindakan memasang 'jerat' sekitar Plaza Tol Senawang (Arah Selatan) Lebuhraya Plus Negeri Sembilan itu ternyata berjaya menahan beratus penunggang motosikal rata-ratanya dalam kalangan belia.

Jurucakap Plus berkata, operasi Bersepadu Motosikal dilaksanakan di Lebuhraya Plus Zon Selatan malam kelmarin disertai pelbagai agensi penguatkuasa.

"Agensi yang terbabit dalam operasi ini adalah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan zon Tengah dan Selatan (JPJ), Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon 1 Selatan, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, pasukan PLUSRonda dan pegawai Plus.

"Operasi Bersepadu Motosikal diadakan bermula jam 9 malam hingga jam 5 pagi di Plaza Tol Senawang. Sepanjang operasi berlangsung, rata-rata penunggang motosikal yang terbabit dengan kegiatan menunggang motosikal secara berbahaya dapat ditahan.

"Sebanyak 104 saman dikeluarkan pihak JPJ manakala 274 saman dikeluarkan pihak PDRM," katanya.

Menurutnya, objektif utama operasi ini untuk menjalankan pemeriksaan mekanikal dan fizikal terhadap motosikal dan penunggangnya, dengan tujuan memastikan keselamatan jalan raya.

"Selain itu, operasi bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas serta meningkatkan kesedaran dan keselamatan pengguna lebuh raya.

"Plus menasihati orang ramai terutama remaja supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa dan kecacatan kekal akibat dari kemalangan ketika berlumba," katanya.

'Ini soal siapa hati kering'

"Ini bukan soal mati...ini soal siapa 'hati kering'. Bersaing dan menunggang motosikal laju nikmat orang muda," ujar Sulaiman Ahmad, 22, yang terjebak dalam aktiviti berlumba haram motosikal sejak berusia 16 tahun.

Menurutnya, berlumba di lebuh raya beramai-ramai satu keseronokan apatah lagi boleh memecut sehingga 150 kilometer sejam.

"Jiwa muda biasanya tak fikir panjang. Tak takut kemalangan atau ditimpa musibah. Bagi yang tidak pernah terbabit kemalangan...mereka ini lebih 'berani mati' di atas jalan," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Katanya, walaupun ada rakan-rakan yang parah atau mati kemalangan namun rasa insaf itu hanya bersifat sementara sebelum kebanyakan mereka kembali ke jalan.

Pemuda dari Takir, Terengganu itu mengakui mempelajari aksi berbahaya seperti Superman dan wheelie dengan menonton video di Youtube.

"Ketika itu saya jadi ketagih melakukannya lebih kerap. Walaupun dimaki pengguna jalan raya lain namun kami tidak kisah langsung.

"Saya belanja RM5,000 ubah suai motosikal Yamaha Y15 bagi mendapatkan kelajuan maksimum semasa merempit," katanya.

Bekas mat rempit, Syamsul, 31, pula berkata, dia kerap berlumba di Lebuhraya Plus Seremban- Kuala Lumpur setiap hujung minggu semata-mata mahu 'berlagak' motosikal siapa lebih laju.

"Tiada hadiah ditawarkan sebaliknya berlumba ini hanya kerana keseronokan dan pantang dicabar.

"Saya membelanjakan sehingga RM4,000 wang simpanan semata-mata mahu mengubah suai motosikal. Saya modified enjin dan ekzos motosikal Yamaha Lagenda milik bapa untuk berlumba bersama rakan-rakan," katanya.

Menurutnya, dia mula terjebak aktiviti lumba haram kerana terpengaruh dengan ajakan rakan ketika berusia 14 tahun walaupun belum layak memiliki lesen memandu ketika itu.

"Kami gemar berlumba di lebuh raya berikutan jalan yang lurus dan lebih luas. Namun biasanya sukar untuk melarikan diri jika pihak Plus dan polis melakukan operasi bersepadu," katanya yang banyak kali ditahan dan dikenakan kompaun.

ANTARA penunggang motosikal yang ditahan hasil operasi Plus bersama agensi penguat kuasa lain.
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan hasil operasi Plus bersama agensi penguat kuasa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 1:00 PM