Muhammad Apendy Issahak


KUMPULAN mat rempit di bandar raya Ipoh kini menggunakan aplikasi kumpulan WhatsApp untuk menganjur lumba haram dengan bayaran penyertaan RM100 seorang pelumba setiap perlumbaan haram dianjurkan.

Taktik terbaru samseng jalan raya itu bagaimanapun berjaya dihidu polis dan lebih 100 motosikal ditahan serta diperiksa dalam operasi di jalankan di Plaza Tol Ipoh Selatan (Ampang), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Ipoh, awal pagi tadi.

Difahamkan setiap aktiviti lumba haram akan dimaklumkan dalam aplikasi berkenaan an kebiasaannya kumpulan terbabit akan berkumpul di bulatan Meru Raya, di Ipoh sebelum masuk ke lebuh raya untuk berlumba.

Kebiasaannya pelumba menuju arah selatan dan kemudian berpusing di susur keluar Simpang Pulai untuk berpatah balik.

Malah, sebahagian besar perlumbaan dianjurkan pada malam hari biasa dengan bayaran RM100 setiap pelumba dan pemenang akan mendapat semua duit terkumpul itu.

Op Samseng Jalanan Bersepadu awal pagi hari ini dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Ipoh; Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman; Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak dan Sukarelawan Polis bermula 11 malam hingga 5 pagi.

Ketua JSPT Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata risikan dan pemantauan dibuat di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara mengesan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya termasuk mengangkat tayar hadapan dan menduga kelajuan serta aksi ‘superman’.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan diekori polis hingga ke sekatan jalan dibuat berhampiran susur keluar Tambun sebelum pihaknya membuat tangkapan.

“Sebanyak 136 motosikal ditahan dan semuanya dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Jalan Chamberlin untuk tujuan dokumentasi.

“Seramai 12 penunggang berusia 18 hingga 26 tahun ditahan kerana dipercayai menunggang secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain, selain 11 penunggang dan pembonceng termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun didapati positif dadah.

“Sebanyak 14 motosikal disita dan keseluruhan 136 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:38 PM
SEBAHAGIAN mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan Bersepadu dijalankan di Plaza Tol Ipoh Selatan (Ampang) PLUS arah utara di Ipoh, awal pagi hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak.
SEBAHAGIAN mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan Bersepadu dijalankan di Plaza Tol Ipoh Selatan (Ampang) PLUS arah utara di Ipoh, awal pagi hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak.