Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Menjelang 12 tengah malam, kumpulan mat motor mula memasuki Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari susur masuk Sentul ke susur Sri Gombak di sini, untuk sesi memanaskan badan.

Kebanyakan mat rempit yang berlumba di ‘litar’ DUKE terdiri daripada remaja lelaki belasan tahun sehingga awal 30-an yang mahu melepaskan gian menguji kelajuan motosikal masing-masing pada malam minggu.

Bunyi deruman enjin dengan ekzos yang diubah suai menjadi perkara biasa di lebuh raya berkenaan, malah penduduk sekitar taman di pinggir lebuh raya juga lali dengan bunyi bising itu.

Dari susur Sentul, mat rempit terbabit menunjukkan pelbagai aksi dan gelagat berlumba sesama sendiri sebelum menamatkan perlumbaan di susur Sri Gombak.

Keadaan ‘litar’ yang lurus dan jarak sejauh lima kilometer (km) menjadikan DUKE pilihan dan digemari dalam kalangan mat rempit di Lembah Klang.

Selepas membuat pusingan U di Sri Gombak, kumpulan terbabit sekali lagi memecut motosikal masing-masing ke arah Sentul dan mengulangi laluan berkenaan sehingga jam 3 pagi.

Wartawan yang berada di lokasi kecut perut melihat pelbagai aksi dipersembahkan mat rempit terbabit termasuk Superman, Wheelie dan Wikang di laluan yang turut digunakan kenderaan berat.

MAT rempit cuba melarikan diri daripada polis dengan menunggang lawan arus di jalan raya.
MAT rempit cuba melarikan diri daripada polis dengan menunggang lawan arus di jalan raya.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan pelumba terbabit adalah generasi baru berusia belasan tahun dan menggunakan motosikal ibu-bapa masing-masing, malah difahamkan ada segelintir datang dari Shah Alam, Klang, Rawang dan Kajang serta tidak ketinggalan di pinggir bandar raya Kuala Lumpur.

Penonton juga tidak kurang hebatnya apabila ramai ‘bersidai’ di tepi lebuh raya menonton aksi ‘bunuh diri’ golongan mat rempit terbabit.

Ada yang membawa teman wanita masing-masing menonton aksi mat rempit terbabit sehingga awal pagi.

Wartawan turut menyaksikan aksi lagak ngeri menunggang motosikal melawan arus dalam keadaan laju oleh kumpulan mat rempit itu sebaik menyedari kehadiran anggota polis.

Walaupun acap kali ditahan menerusi operasi bersepadu cegah lumba haram dilakukan polis, namun kawasan lebuh raya itu terus dibanjiri kumpulan mat rempit setiap malam minggu.

Menjelang jam 3.30 pagi, suasana mulai sunyi dan hanya ada beberapa motosikal saja ke hulu ke hilir dengan bunyi ekzos yang kuat, selain kumpulan penonton mula bersurai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 1:12 AM