Kedai Seringgit yang dihadiahkan kepada Saiyidah Fatimah Nabihah bagi membolehkannya berdikari. FOTO Ihsan pembaca.
Kedai Seringgit yang dihadiahkan kepada Saiyidah Fatimah Nabihah bagi membolehkannya berdikari. FOTO Ihsan pembaca.
Redzuan Muharam


Labuan: Kasih sayang Saiyidatul Syahirah Jasney terhadap adiknya, Saiyidah Fatimah Nabihah cukup mendalam kerana tidak hanya menjaga amanah arwah ibu untuk menjaga darah dagingnya itu.

Sebaliknya, wanita berusia 32 tahun itu memberi peluang kepada adik istimewanya, untuk berdikari dengan membuka premis jualan makanan ringan diberi nama Kedai Seringgit.

Saiyidatul Syahirah dari Kampung Bebuloh Laut, di sini berkata, kedai itu dibuka di halaman rumah dan mula beroperasi sejak 10 Jun lalu.

Menurut Saiyidatul Syahirah, idea itu tercetus selepas melihat adik bongsunya, seorang autisme, obses dengan gajet ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Enggan membiarkan adiknya terus leka, Saiyidatul Syahirah berusaha bantu dengan membuka perniagaan menjual makanan ringan, pizza burger dan aiskrim bagi mengajar adiknya menjana pendapatan sendiri.

"Sebelum ni adik saya bersekolah di madrasah tahfiz dan tinggal di asrama sebelum mengikuti sesi PdPR di rumah ketika pandemik.

"Pada waktu itu, nampak minat adik terhadap seni doodle dan sebab itu belikannya 'chromebook' sebagai tanda sokongan.

"Bagaimanapun, itu hanya aktiviti sampingannya dan kerana itu saya buka Kedai Seringgit bagi membolehkan adik bekerja tanpa tekanan.

"Nama Kedai Seringgit itu diberi kerana adik autisme, cepat keliru dan mudah lupa. Jadi, saya letak nama mudah ingat bersesuaian dengan barangan jualan yang semuanya dijual pada harga RM1 saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagi melancarkan urusan perniagaan Saiyidatul Syahirah menyediakan rekod jualan mudah yang mudah difahami dan tidak mengelirukan.

GAMBAR kenangan Saiyidatul Syahirah dan Saiyidah Fatimah Nabihah ketika mengerjakan umrah berdua tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca.
GAMBAR kenangan Saiyidatul Syahirah dan Saiyidah Fatimah Nabihah ketika mengerjakan umrah berdua tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca.

Saiyidatul Syahirah berkata, caranya adalah dengan mengajar dan meminta Saiyidah Fatimah Nabihah menanda pada rekod jualan disediakan.

"Kami tidak hanya berniaga di depan rumah tetapi ada juga tawarkan khidmat pembayaran ketika penghantaran (COD).

"Buat masa ini, saya tak sasarkan sangat hasil jualan yang terlalu tinggi sebab niat asal buka kedai itu adalah untuk ajar adik berniaga.

"Tapi Alhamdulillah, sokongan dan maklum bala diterima daripada semua pihak termasuk jiran sekeliling sangat positif," katanya yang mengambil tanggungjawab menjaga Saiyidah Fatimah Nabihah sejak dua tahu lalu iaitu selepas ibunya, Azizah Salleh meninggal dunia.

Berhubung hantarannya di Facebook (Fb), Saiyidatul Syahirah tidak menyangka dapat maklum balas yang luar biasa hingga kisah adiknya tular kerana hanya berkongsi di kumpulan Austisme Malaysia dan bukan akaun peribadinya.

"Sangat terkejut apabila begitu banyak maklum balas positif diterima terutama daripada ibu bapa dengan rata-ratanya mengatakan idea diketengahkan sangat menarik dan sesuai bantu anak istimewa belajar berdikari.

"Diharap, adik dapat gunakan kemahiran diajar itu sepanjang hayatnya dan terus berdikari walaupun selepas saya sudah tiada nanti.

"Ia kerana salah satu tujuan saya bawa adik menceburi bidang perniagaan adalah supaya dia lebih terbuka dan tidak mengehadkan cara berfikir walaupun dia dilahirkan istimewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 6:00 PM