Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pada usia 18 tahun, kebanyakan remaja perempuan lain sibuk berdandan dan menghias diri, namun berbeza dengan Nor Farisya Azhar apabila bergelumang di kandang lembu.

Boleh dikatakan sepanjang hari, masa gadis manis itu diluangkan untuk menjaga dan menguruskan lebih 200 lembu baka Brahman dan Kacuk Kelantan di kandang milik bapanya, Azhar Che Abdullah, 53, di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, di sini.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dia mula didedahkan dengan ternakan lembu di awal usia 11 tahun dan kandang lembu seakan menjadi rumah keduanya, malah tidak kisah tiada masa untuk keluar bergembira seperti rakan lain.

"Memang ada yang memandang rendah dan berkata sinis apabila mengetahui saya menjaga lembu dan tidak kurang yang terkejut kerana biasanya kerja itu dilakukan orang lelaki.

"Bagaimanapun, ini memang minat saya dan tidak kisah langsung jika tidak dapat berhias cantik atau melaram seperti gadis lain disebabkan ia bukan kesukaan saya," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

 Nor Farisya Azhar, 18, menjaga lembu baka Brahman dan Kacuk Kelantan di kandang milik bapanya di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Nor Farisya Azhar, 18, menjaga lembu baka Brahman dan Kacuk Kelantan di kandang milik bapanya di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Nor Farisya berkata, tugasnya bermula seawal jam 7 pagi dengan memandikan kesemua lembu peliharaan sebelum diberi makan dedak atau rumput.

"Lembu yang menjadi kesayangan saya ialah Boboi (baka Brahman) yang sentiasa manja walaupun fizikalnya besar dengan berat sekitar 800 kilogram (kg).

"Boboi sudah dipelihara hampir lapan bulan dan kami bakal berpisah tidak lama lagi kerana ia sudah ditempah oleh pembeli untuk korban," katanya.

Berkongsi pengalaman pernah mengalami beberapa insiden disondol lembu, ia tidak mematahkan semangatnya, malah memberitahu ada cara khusus untuk menjinakkan binatang peliharaan itu.

Menjelang musim perayaan terutama Aidiladha, kandang seluas 4.8 hektar itu akan memuatkan lebih 1,000 lembu dari kedua-dua baka yang dibeli dari Thailand serta Myanmar sebelum dijual kepada pembeli.

Nor Farisya yang juga pelajar sebuah pondok di Tumpat berkata, dia berhasrat untuk meneruskan legasi bapanya dalam ternakan lembu, malah kini berupaya menjalankan urusan niaga bermula daripada proses import sehingga kepada pengguna akhir.

"Sebagai anak sulung, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu bapa dan walaupun saya seorang perempuan, itu tidak menjadi halangan untuk terbabit dalam bidang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:00 AM