ANTARA lembu di kandang Mohd Zulkifli.
ANTARA lembu di kandang Mohd Zulkifli.
Hidayatidayu Razali


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun lalu memberi idea untuk menceburi bidang baharu iaitu sebagai penternak lembu baka limosin dan charolais.

Mohd Zulkifli Ali, 38, berkata, idea itu tercetus selepas dia yang dahulu bekerja dengan rakan di sebuah syarikat pembekal peralatan perubatan kepada hospital, tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur.

Kata Mohd Zulkifli, sekatan perjalanan itu menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Sepanjang berada di kampung, hampir setiap hari meluangkan masa bersembang dengan rakan sekampung yang bergiat aktif menternak lembu.

"Daripada mereka, saya mula belajar cara membiak baka, memberi makan dan menjaga haiwan berkenaan.

"Sejak itu, timbulnya minat dan saya mula mencari maklumat di Internet mengenai lembu baka limosin serta charolais," katanya ketika ditemui di Kampung Panjang, Bachok, Kelantan.

MOHD Zulkifli menunjukkan lembu kesayangannya jenis baka limosin.
MOHD Zulkifli menunjukkan lembu kesayangannya jenis baka limosin.

Menurut Mohd Zulkifli, dia mempelajari aspek penjagaan lembu hampir dua bulan sebelum mengambil keputusan membeli tujuh ekor lembu sebagai permulaan dan untuk percubaan.

Katanya, perkongsian maklumat oleh rakan dan info pembelajaran menerusi Internet itu nyata membuahkan hasil apabila lembunya kini membiak sudah melebihi 40 ekor.

"Dengan hanya bermodalkan wang simpanan sebanyak RM70,000, saya memberanikan diri membeli lembu sebagai percubaan dan membuat kandang di atas tanah milik ibu bapa.

"Ketika itu, saya hanya mahu mencuba nasib menjadi penternak memandangkan saya tersekat di kampung dan tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja berikutan pelaksanaan PKP.

"Alhamdulillah usaha itu tidak sia-sia, daripada bekerja makan gaji kini saya bergelar penternak dan dipanjangkan rezeki dalam bidang perternakan lembu pula, " katanya bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Mohd Zulkifli berkata, untuk memastikan lembu peliharaannya membiak, haiwan itu perlu berada dalam kandang yang selesa, tidak berbau busuk dan tidak tertekan.

KEADAAN kandang lembu Mohd Zulkifli.
KEADAAN kandang lembu Mohd Zulkifli.

Ini kerana, kata Mohd Zulkifli, jika lembu tertekan dan tidak selesa, haiwan itu tak dapat membiak seperti biasa.

Justeru, aspek kebersihan kandang sentiasa menjadi keutamaan Mohd Zulkifli dan lembu peliharaannya juga perlu dimandikan setiap hari disebabkan cuaca yang panas.

"Selain sensitif dalam aspek kebersihan, lembu baka limosin dan charolais adalah haiwan yang sangat jinak berbanding lembu kampung lain.

"Oleh itu, ia perlu penjagaan rapi dan diternak dalam kandang serta diberi makan," katanya.

Jelas Mohd Zulkifli, bagi memastikan lembu peliharaannya mendapat makanan mencukupi, dia juga menyewa tanah penduduk kampung untuk menaman rumput minyak dan jagung.

Inisiatif itu diambil memandangkan harga makanan lembu semakin meningkat selain memastikan makanan mencukupi dan bermutu.

MEMBERI makan kepada lembu peliharaan.
MEMBERI makan kepada lembu peliharaan.

"Bagi membesarkan lagi skop penternakan, saya juga menubuhkan pasukan terdiri daripada empat rakan yang turut memelihara lembu baka sama.

"Empat rakan saya ini mempunyai kepakaran yang khusus termasuk untuk membiak baka, membuat kandang lembu dan dalam pemakanan haiwan.

"Kami saling bekerjasama dan memberi pendapat masing-masing bagi menambah ilmu dalam penternakan lembu sekali gus dapat memelihara haiwan itu dengan kaedah yang lebih baik," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Mohd Zulkifli turut menyediakan empat bilik khas untuk memudahkan lembunya beranak.

Katanya, sebaik kandungan cukup masa, dia sendiri akan memantau keadaan ibu lembu sehingga ia berjaya melahirkan anak.

"Ketika proses kelahiran, saya akan juga sentiasa memantau kerana berisiko jika anak lembu besar, proses kelahiran menjadi rumit dan lama, boleh menyebabkan ibu serta anak lembu mati.

BERSAMA pekerja memandikan lembu setiap hari.
BERSAMA pekerja memandikan lembu setiap hari.

"Ia perlu dielakkan kerana jelas akan merugikan penternak kerana sudah mengeluarkan banyak belanja termasuk kos makanan dan penjagaan," katanya.

Mohd Zulkifli berkata, daerah Bachok juga mengeluarkan banyak baka lembu limosin dan impiannya juga untuk menjadi pusat membiak baka lembu serta memasarkan kepada penternak di seluruh negara.

Untuk itu, Mohd Zulkifli berharap impiannya itu akan dapat direalisasikan, sekali gus membantu penternak lain untuk mendapatkan baka lembu yang berkualiti.

Katanya, pelanggan yang membeli lembu peliharaannya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.

"Disebabkan mampu, mereka tidak kisah untuk membeli seekor anak lembu sama ada baka limosin atau charolais dengan harga bermula RM15,000.

"Harganya tinggi, bergantung kepada 'kecantikan' iaitu muka kecil, pendek, dan besar mempunyai permintaan yang tinggi, namun agak susah hendak perolehi.

"Disebabkan itu, saya perlu teliti dalam menjaga haiwan berkenaan bagi membolehkan si ibu melahirkan anak yang berkualiti," katanya.

Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, orang ramai yang mahu menceburi bidang penternakan perlu mencari ilmu yang cukup bagi mengelak kerugian.

"Bidang penternakan tidak boleh hanya sekadar minat sebaliknya perlu ada ilmu yang mencukupi.

"Ia penting untuk memastikan seseorang itu dapat bertahan lama dalam bidang penternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:20 AM