Yusmizal Dolah Aling

Putrajaya: Rohana Abdullah dan Chee Hoi Lan selesai memberi keterangan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Ia berhubung kisah hidup gadis berusia 22 tahun itu yang tular sejak seminggu lalu dan meminta pihak berwajib mempertimbangkan permohonannya untuk mendapat status kerakyatan.

Mereka tiba di Kompleks KDN pada 11 pagi sebelum bertemu pegawai di situ dan selesai memberi keterangan dua jam kemudian.

Turut bersama mereka adalah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim.

Kehadiran kedua-duanya mencuri tumpuan kakitangan bertugas dan ada yang mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan mereka.

Sementara itu, Gulam Muszaffar berkata, Rohana dan Hoi Lan turut mengemukan dokumen berkaitan kepada pegawai kementerian.

Rohana (kiri) dan Chee Hoi Lan. FOTO Arkib NSTP
Rohana (kiri) dan Chee Hoi Lan. FOTO Arkib NSTP

"Banyak perkara disentuh dalam sesi ini dan saya rasa biarlah kementerian mengeluarkan kenyataan mengenainya nanti.

"Ia susulan panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin membantu Rohana.

"Apapun kita doakan agar akan ada perkembangan yang baik daripada pertemuan ini. Sementara ini kita akan tunggu hasil siasatan kementerian," katanya.

Sementara itu Rohana berkata, dia sudah memberikan penjelasan mengenai kisah hidupnya dalam pertemuan itu.

Katanya, selepas berusaha, dia berserah kepada Allah SWT mengenai masa depannya nanti.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, seorang wanita Cina, Chee Hoi Lan, 83, menunjukkan kemurnian hati dan kasih sayang tinggi selepas memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi.

Bukan saja menjaganya, warga emas itu sanggup mengeluarkan belanja bagi memastikan Rohana dapat belajar fardu ain dan makan makanan halal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:14 PM