TIKAR dibentang dibawah blok pangsapuri kediaman Cikgu Surie untuk mengajar pelajar. FOTO Suriani Md Salleh.
TIKAR dibentang dibawah blok pangsapuri kediaman Cikgu Surie untuk mengajar pelajar. FOTO Suriani Md Salleh.
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.

Peribahasa ini amat sesuai dengan tindakan dilakukan seorang guru, Suriani Md Salleh, 40, atau lebih mesra disapa Cikgu Surie yang tidak pernah berkira dalam mencurahkan ilmunya kepada pelajar terutama yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Apa tidaknya, sudah hampir 10 tahun Cikgu Surie mengadakan kelas tambahan secara percuma di surau awam sekitar kediamannya atau dewan bawah blok apartment kos rendah yang didiaminya.

Baginya, dia ikhlas membantu pelajar demi memastikan mereka berjaya pada masa depan, tanpa mengharap apa-apa balasan.

"Biasanya saya buat kelas tambahan untuk subjek Sains dan Kimia untuk anak didik yang bakal menduduki SPM.

"Antara 20 hingga 30 pelajar biasa hadir ke kelas tambahan selepas mendapat kebenaran ibu bapa masing-masing, kebanyakan mereka menetap di kawasan sekitar rumah saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

CIKGU Surie (hadapan) bersama anak-anak didik kelas tambahannya. FOTO Ihsan Suriani Md Salleh.
CIKGU Surie (hadapan) bersama anak-anak didik kelas tambahannya. FOTO Ihsan Suriani Md Salleh.

Cikgu Surie yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun berkata, kejayaan cemerlang diperoleh pelajar menjadi pembakar semangatnya untuk meneruskan kelas tambahan percuma berkenaan.

"Saya gembira apabila mendapat tahu pelajar yang sebelum ini lemah menunjukkan perkembangan positif dalam keputusan peperiksaannya.

"Saya bersyukur usaha dilakukan ini mendapat sambutan dan maklum balas positif daripada Ahli Jawatankuasa Surau Al-Firdaus Seksyen Empat Kota Damansara," katanya yang akan memberikan teknik menjawab dengan betul lebih-lebih lagi bila musim peperiksaan SPM tiba.

Katanya, seorang guru perlu mempunyai keikhlasan setinggi gunung kerana pelajar ibarat pohon hijau yang perlu disemai dengan baja.

"Saya tidak mengharapkan balasan, tetapi cukuplah dengan kenangan terindah sepanjang mengajar mereka," katanya.

Sementara, setiausaha surau, Mazidi Abd Manaf, 48, berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha dilakukan Cikgu Surie.

KELAS tambahan di Surau Al-Firdaus Seksyen Empat Kota Damansara. FOTO Ihsan Suriani Md Salleh.
KELAS tambahan di Surau Al-Firdaus Seksyen Empat Kota Damansara. FOTO Ihsan Suriani Md Salleh.

"Sebagai kariah surau, kami sentiasa menyediakan fasiliti kepada Cikgu Surie seperti papan putih dan bilik khas untuk mengajar.

"Surau dijadikan tempat untuk mereka mencari ilmu kerana kelas di sekolah sudah penuh disebabkan di sana juga digunakan untuk kelas tambahan," katanya.

Seorang bekas pelajar, Ikmal Hakimi Rohizamudin, 24, berkata, kelas tambahan disediakan Cikgu Surie sangat membantunya dan rakan-rakan ketika menduduki peperiksaan pada 2016.

"Kebanyakan kami mendapat keputusan A dalam subjek Sains dan Kimia atas usaha Cikgu Surie yang banyak mengorbankan masa dan tenaga demi kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 8:55 PM