MOHD Shafrizzan gunakan pengalaman sebagai tenaga pengajar lakonkan parodi dengan mengambil inspirasi kisah sebenar. FOTO Ihsan Mohd Shafrizzan Jamal
MOHD Shafrizzan gunakan pengalaman sebagai tenaga pengajar lakonkan parodi dengan mengambil inspirasi kisah sebenar. FOTO Ihsan Mohd Shafrizzan Jamal
Redzuan Muharam


Muar: Bagi memaparkan realiti sebenar di sekolah memandu, Mohd Shafrizzan Jamal berkongsi rutinnya sebagai tenaga pengajar menerusi video parodi berunsur jenaka di TikTok.

Perkongsian Mohd Shafrizzan, 33, atau dikenali Cikgu Appy mendapat perhatian dengan rata-ratanya terhibur dengan gelagat bapa seorang anak itu.

Menurut Mohd Shafrizzan, video dimuat naik di TikTok itu hanya content atau bahan perkongsian semata-mata dan dilakonkan semula berdasarkan realiti serta pengalamannya mengajar di sekolah memandu.

"Saya aktif di TikTok sejak tahun lalu dan pada awalnya untuk suka-suka saja namun sambutan baik mendorong saya muat naik lebih banyak video.

"Jujurnya apa dimuat naik itu hanya lakonan kerana agak sukar nak rakam video sebenar tambahan kita perlu minta izin dengan tuan punya badan dan risau jika perkongsian itu nanti mengaibkan. Maka, saya lakonkan semula berdasarkan situasi pernah dilihat dan dialami sebagai cikgu memandu.

"Saya tak berseorangan kerana dibantu rakan daripada saluran Youtube Gemokk Chanel iaitu Pyan sebagai jurukamera dan penyunting selain Aliff, Shad serta Epul sebagai pelakon tambahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Shafrizzan berkata, setakat ini, ramai beri maklum balas positif dan terhibur dengan apa yang dikongsikan.

Bagaimanapun, Mohd Shafrizzan mengakui ada juga melemparkan kecaman kerana menganggap apa dikongsikannya mengaibkan pelajar sekolah memandu.

"Sudah 11 tahun saya menjadi cikgu memandu dan bertemu dengan bermacam ragam pelajar. Ada yang cepat belajar dan pernah juga saya ambil masa empat bulan untuk ajar seorang pelajar memandu dengan betul.

"Jadi, mesej saya cuba sampaikan di TikTok adalah tugas sebagai cikgu memandu tidak mudah kerana ada segelintir orang anggap ia kerja senang. Hakikatnya, tugas itu mencabar juga dan ada beza dengan kerja cikgu di sekolah," katanya.

RAKAMAN video Mohd Shafrizzan yang dilakonkan mengambil inspirasi kisah sebenar. FOTO Ihsan Mohd Shafrizzan Jamal
RAKAMAN video Mohd Shafrizzan yang dilakonkan mengambil inspirasi kisah sebenar. FOTO Ihsan Mohd Shafrizzan Jamal

Mohd Shafrizzan berharap, perkongsiannya itu dapat memberi gambaran kepada mereka yang bakal mendaftar masuk ke sekolah memandu.

"Sekurang-kurangnya, mereka yang menonton dapat belajar dan bersiap sedia sebelum masuk sekolah memandu. Sebagai cikgu, saya seronok kerana dapat mengajar dan bimbing hingga pelajar dapat lesen memandu.

"Bukan niat saya nak takutkan sesiapa atau tunjuk imej cikgu memandu garang. Pelajar saya sendiri tak takut dengan saya sebaliknya mereka gelak ketika ikuti kelas memandu bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 4:34 PM