Asrol Awang


Kuantan: Tiga beradik dari Kampung Cempaka di sini, mengakui lebih selesa mengikuti pembelajaran menerusi saluran Didik TV Kementerian Pendidikan (KPM) yang memulakan siarannya, hari ini.

Muhammad Syafieqz Baitullah Mohd Nordin Tan, 15, berkata, dia bersama dua adiknya, Nursyafeqah Asrissya, 10, dan Muhammad Syahkar Basiron, 8, cenderung melihat Didik TV sebagai platform mengajar yang lebih baik.

"Dengan adanya saluran ini, rasa lebih bagus seperti berada di dalam kelas, berbanding kaedah pembelajaran menggunakan aplikasi dalam talian.

"Pada masa sama, saluran ini memberi penerangan yang lebih jelas walaupun tidak dapat bertanyakan soalan kepada cikgu," kata pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Bagi Nursyafeqah Asrissya yang juga pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Soi, Didik TV membolehkannya memberi tumpuan ketika belajar.

"Saya gembira adanya saluran ini, walaupun tentulah belajar di sekolah lebih selesa," katanya.

Sementara itu, ibu tiga beradik berkenaan, Baziah Sallehudin, 36, berkata, kewujudan saluran Didik TV adalah inisiatif terbaik kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran.

"Anak-anak dapat mengikuti pembelajaran mengikut tahap masing-masing dan usaha kerajaan ini adalah yang terbaik sebelum mereka kembali ke sekolah," katanya.

Pelajar tingkatan 3, Muhammad Syafieqz Baitullah Mohd Nordin Tan, 15, (kanan) dan adiknya murid darjah 4, Nur Syafieqah Asrissya Mohd Nordin Tan, 10, sedang menonton dan mengikuti pembelajaran di saluran DIDIK TV KPM di rumah mereka di Kampung Cempaka di sini. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Pelajar tingkatan 3, Muhammad Syafieqz Baitullah Mohd Nordin Tan, 15, (kanan) dan adiknya murid darjah 4, Nur Syafieqah Asrissya Mohd Nordin Tan, 10, sedang menonton dan mengikuti pembelajaran di saluran DIDIK TV KPM di rumah mereka di Kampung Cempaka di sini. FOTO MUSTAFFA KAMAL

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 2:01 PM