(GAMBAR kiri) Cikgu Surie (dua kanan) melawat Ariff di hospital bersama rakan guru pada 2016. (Gambar kanan) Cikgu Surie (kanan) melawat Ariff baru-baru ini di rumahnya. FOTO ihsan Suriani Md Salleh
(GAMBAR kiri) Cikgu Surie (dua kanan) melawat Ariff di hospital bersama rakan guru pada 2016. (Gambar kanan) Cikgu Surie (kanan) melawat Ariff baru-baru ini di rumahnya. FOTO ihsan Suriani Md Salleh
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Sekeping gambar mampu menggarap seribu kenangan di dalam sanubari seorang insan.

Peribahasa ini boleh dilihat apabila seorang guru terkenang dengan gambar dirakam tujuh tahun lalu di hospital ketika melawat bekas pelajarnya selepas mengetahui dia menghidap penyakit kanser Sarkoma Sinovial.

Suriani Md Salleh, 40, yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Surie, masih menyimpan gambar bekas pelajarnya, Ariff Abdul Rahman, 23, dan mendapati beliau tetap tidak lekang dengan senyuman walaupun menghidap kanser sejak 2016 dan dan kaki kanannya terpaksa dipotong, baru-baru ini akibat penyakit itu.

"Semalam kami melawat Ariff di rumahnya... dia tetap berfikiran positif dan mempunyai semangat yang tinggi, sama seperti ketika dia sihat dahulu," katanya.

"Sudah tujuh tahun, tetapi lakaran senyuman yang Ariff beri kepada kami mengimbas kembali ketika dia dikhabarkan menghidap kanser itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Cikgu Surie, pada 2016, dia terkejut dan sedih apabila mendengar khabar Ariff yang dahulunya pemain ragbi sekolah menghidap kanser.

"Dia mula mengalami simptom kaki bengkak dan sukar untuk berjalan sejak tahun 2016, lalu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan menghidap kanser.

"Saya dan rakan guru sangat terkejut dan bersimpati atas kejadian yang menimpanya, jadi kami terus bercadang untuk melawat Ariff di hospital," katanya.

Namun, Cikgu Surie berkata, semangat yang tinggi dan aura positifnya mengurangkan rasa cemasnya apabila melihat Ariff yang sentiasa tersenyum walaupun terlantar di hospital.

Sementara itu, Ariff berkongsi, dia banyak melihat video motivasi diri dan menganggap ujian yang datang daripada Tuhan sebagai ganjaran untuknya.

"Video di TikTok menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus bangkit dan jangan pernah berasa suatu ujian itu sebagai beban hidup," katanya.

Berkongsi lanjut, Ariff berkata, Cikgu Surie seorang guru yang sangat mengambil berat tentang anak muridnya.

"Sepanjang mengenali Cikgu Surie, dia banyak memberi semangat kepada saya dan itu menjadi salah satu punca saya lebih cekal menghadapi ujian ini," katanya.

Ariff turut berharap dia terus kuat dan diberi kesembuhan cepat supaya dia boleh memakai kaki palsu untuk melakukan aktiviti harian seperti orang biasa.

"Saya berharap supaya saya cepat sihat seperti dahulu dan boleh melakukan pekerjaan dengan adanya kaki palsu," ujarnya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Cikgu Surie tidak pernah berkira dalam mencurahkan ilmunya kepada pelajar dengan mengadakan kelas tambahan percuma di surau awam sekitar rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 7:27 PM