Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, Selangor, bermula hari ini selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Keputusan itu dibuat Hakim Izralizam Sanusi selepas menolak permohonan peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf di Mahkamah Sesyen sebentar tadi.

"Permohonan tertuduh untuk penggantungan ditolak, maka mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta-merta," katanya.

Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu dilakukan di kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 3:16 PM