ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dipercayai mayat seorang ahli perniagaan dibuang. FOTO Ihsan Polis.
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dipercayai mayat seorang ahli perniagaan dibuang. FOTO Ihsan Polis.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan identiti ahli perniagaan yang mati dibunuh dan mayat dibuang ke cerun di Hulu Langat, Selangor sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakan serumah mangsa juga antara suspek yang disyaki terbabit dalam komplot pembunuhan mangsa.

"Ya. Mangsa dikenal pasti. Rakan serumah mangsa adalah seorang daripada suspek dalam kes ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan mangsa yang mati dibunuh, ditemukan dengan keadaan tangan terikat dalam sebuah bagasi di cerun bukit pada ketinggian 27 meter di Hulu Langat, Khamis lalu.

Mangsa, 41 tahun ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kesan leher dijerut pengikat kabel.

Hussein berkata, penemuan mangsa susulan tangkapan lima suspek termasuk dua perempuan selepas rakan serumah mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada 26 April lalu.

Dengan penahanan rakan serumah mangsa, ini menjadikan jumlah suspek kes ini seramai enam individu termasuk suspek utama seorang kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 11:44 AM