LOKASI ahli perniagaan yang dibunuh dan dicampak ke cerun setinggi 27 meter. FOTO ihsan polis
LOKASI ahli perniagaan yang dibunuh dan dicampak ke cerun setinggi 27 meter. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Kertas siasatan kes pembunuhan ahli perniagaan yang mayatnya dibuang ke cerun di Hulu Langat diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke TPR hari ini.

"Perkembangan akan dimaklumkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan mangsa yang mati dibunuh, ditemukan dengan keadaan tangan terikat dalam sebuah bagasi di cerun bukit pada ketinggian 27 meter di Hulu Langat, Khamis lalu.

Mangsa berusia 41 tahun ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kesan leher dijerut pengikat kabel.

Penemuan mangsa susulan tangkapan lima suspek termasuk dua wanita selepas rakan serumah mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada 26 April lalu.

Rakan serumah mangsa kemudian turut ditahan menjadikan jumlah suspek seramai enam individu termasuk suspek utama seorang kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 11:54 AM