ANGGOTA bomba membuang tanah runtuh yang menutup sebahagian laluan di Kampung Pangsun, Sungai Manggis, Hulu Langat, hari ini, selepas hujan lebat. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba membuang tanah runtuh yang menutup sebahagian laluan di Kampung Pangsun, Sungai Manggis, Hulu Langat, hari ini, selepas hujan lebat. FOTO ihsan bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


HUJAN lebat menyebabkan tanah runtuh dari cerun pada ketinggian kira-kira 15 meter di Kampung Pangsun, Sungai Manggis, Hulu Langat, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.22 petang.

“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat runtuhan tanah dari cerun pada ketinggian kira-kira 15 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rizal berkata, anggotanya kemudian melakukan kerja membuang tanah yang menutup sebahagian laluan di lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk membuang tanah yang menutup sebahagian laluan itu.

“Tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 9:28 PM