MOHAMAD Wadi Annuar Ayub. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Wadi Annuar Ayub. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar mengesahkan beliau akan hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.

Beliau dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan kehadiran beliau ke JAIPs itu adalah susulan program sembang santai dihadirinya di Jalan Abi Batas, Kangar, baru-baru ini.

"InsyaAllah, saya akan memberikan kerjasama penuh sesuai dan selaras dengan kehendak serta peruntukan undang-undang berkaitan.

"Saya berdoa dan bermunajat agar siasatan akan berjalan lancar, adil serta telus melalui proses keadilan tanpa sebarang kacau ganggu, manipulasi atau tekanan mana-mana pihak terutama pihak yang sentiasa mencari salah dan silap dari saya serta mempunyai agenda tersendiri," katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak yang tiada kaitan dengan JAIPs yang menjalankan siasatan itu supaya menahan diri daripada mencampuri urusan di luar bidang kuasa mereka yang sudah ditetapkan.

"JAIPs sebagai badan kerajaan negeri sepatutnya bebas dan tidak wajar menerima sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

"Semua proses undang-undang akan saya hormati. Saya menegaskan supaya hak saya untuk mendapatkan keadilan juga dihormati sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Pihak saya sentiasa merujuk kepada nasihat barisan peguam dari semasa ke semasa mengenai perkembangan proses ini. Semoga Allah Taala menzahirkan kebenaran kepada semua.

"Kepada Allah saya berserah," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan JAIPs memanggil pendakwah bebas itu serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyertaannya pada program Solat Tarawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, Perlis pada 30 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Ia berikutan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 1:15 PM