USTAZ Wadi Annuar.
USTAZ Wadi Annuar.
Aizat Sharif


Kangar: Pendakwah bebas Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub masih dalam siasatan dan tetap perlu memberi keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) 2 Mei ini.

Wadi Annuar sebelum ini memohon penangguhan untuk sesi itu yang sepatutnya diadakan pada 17 April lalu.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim berkata, pendakwah dikenali ramai itu disiasat berhubung program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan Matin di Kampung Abi, Padang Machang, di sini pada 30 Mac lalu.

Program itu dihadirinya tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

"JAIPs menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai dan pihak media berhubung siasatan terhadap Wadi Annuar yang sebelum ini dijadualkan pada 17 April lalu, namun Wadi Annuar memohon penangguhan ke beberapa tarikh dengan mengemukakan alasan tertentu kepada JAIPs.

"Kita menegaskan bahawa siasatan terhadap beliau akan tetap diteruskan pada 2 Mei dan tindakan undang-undang termasuk waran tangkap akan diambil sekiranya arahan ini tidak dipatuhi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pendakwah itu beberapa kali diminta untuk hadir ke pejabat JAIPs untuk diambil keterangan mengenai program pada akhir bulan lalu yang berlangsung tanpa tauliah.

JAIPs turut membuat laporan polis selepas penguat kuasanya dihalang oleh penganjur daripada bertemu Wadi Annuar untuk mendapatkan keterangan.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini turut menegur pendakwah itu yang didakwa seperti mempersendakan peraturan serta titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai keperluan untuk mendapatkan tauliah terlebih dahulu sebelum mengajar agama di negeri itu atau terbabit program keagamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 10:07 AM