Penyanyi, Aisha Retno. FOTO Ahmad Ukasyah
Penyanyi, Aisha Retno. FOTO Ahmad Ukasyah
Ramlah Zainal


Petaling Jaya : Penyanyi Aisha Retno menafikan spekulasi dirinya menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Aziz Harun, 25, seperti diperkatakan ramai.

Menurut Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, hubungannya dengan penyanyi dari Brunei itu sekadar berkawan baik dan tidak lebih dari itu.

"Saya dengan Aziz sudah lama berkawan sejak saya mula berkecimpung dalam industri seni.

"Sampai sekarang pun kami masih berkawan baik. Malah, Aziz juga mengundang saya pada 'showcasenya', Sabtu ini.

"Pada majlis pelancaran single duet bersama Aziz berjudul Jarak sebelum ini pun saya sudah beritahu kepada pihak media kemesraan kami juga sebagai kawan dan bukannya ada hubungan cinta," katanya kepada Harian Metro.

Aisha ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya berjudul Ternoktah di sebuah pusat beli-belah, hari ini.

Mengenai lagu Ternoktah pula, kata Aisha, ia menceritakan sebanyak 60 peratus dari kisah cintanya yang putus di tengah jalan.

"Jangan salah faham, lagu Ternoktah ini tiada kaitan dengan hubungan saya dengan Aziz tetapi ia adalah penyeri kisah cinta saya sebelum ini.

"Lagu ini menceritakan perjalanan kisah cinta saya dengan beberapa jejaka yang pernah dikenali pada tahun ini," katanya.

Ditanya sama ada lagu Ternoktah itu ditujukan pada bekas teman istimewanya pula, Aisha mengakui perkara itu.

"Lagu itu ditujukan pada seseorang yang saya pernah cintai dan saya masih menyayangi dirinya seperti lirik lagu ini 'melepaskanmu walaupun sakit'.

"Si dia bukan kalangan artis tetapi saya tiada keberanian untuk mendedahkan siapa bekas teman istimewa saya itu," katanya.

Mengulas penampilan rambut pendeknya pula, kata Aisha, dia memang mahu menampilkan imej yang 'fresh' selaras dengan kemunculan lagu Ternoktah itu.

"Saya mahu tampilkan kelainan untuk lagu baru ini dengan potong rambut pendek, mewarnakannya merah dan memakai 'braces' (pendakap gigi).

"Ia juga sebagai menunjukkan saya sudah 'move on' dari kisah cinta yang lalu dan mahu fokus pada karier seni ketika ini," katanya.

Single Ternoktah ciptaan Aisha, komposer Firdaus Rahmat dan Omar K itu adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman Sony Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 5:47 PM