KHEMAH yang didirikan pemburu haram.
KHEMAH yang didirikan pemburu haram.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Semakin ramai 'toyol rimba' atau pemburu haram warga Kemboja dikesan menyusup masuk ke hutan negara ini untuk mencuri khazanah negara bernilai jutaan ringgit.

Mereka yang bergerak persis tentera gerila mampu hidup berbulan lamanya di dalam hutan dengan hanya berbekalkan parang, kotak mancis dan kanvas.

Matlamat mereka adalah mencari spesies hidupan liar jarang ditemui selain mendapatkan pokok gaharu berharga untuk diseludup keluar dari negara ini.

Dalam kes terbaharu Selasa lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berjaya melumpuhkan kegiatan sekumpulan pemburu haram di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera, Pahang.

Jurucakap Perhilitan berkata, kejayaan itu hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dibantu anggota Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Negeri Pahang dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7.

PERALATAN yang ditemui  dalam Operasi Bersepadu Khazanah.
PERALATAN yang ditemui dalam Operasi Bersepadu Khazanah.

Menurutnya, dalam operasi itu seorang lelaki warga Kemboja diberkas di dalam hutan berkenaan.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri sah ditemui dan lelaki memperkenalkan diri sebagai Sangtun itu berasal dari Kemboja.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 56 tahun itu ditemui, parang, telefon bimbit, lampu suluh dan bongkah kayu gaharu di dalam dua guni dibawa.

"Suspek yang disoal siasat kemudian mendedahkan terdapat khemah yang menjadi tempat suspek bermalam bersama rakan di hutan berkenaan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun rakan suspek didapati sudah melarikan diri dengan meninggalkan empat khemah di dalam hutan itu.

"Penggeledahan kemudian menemui gergaji, lampu suluh, kayu gaharu, jerat menangkap hidupan liar dan pelbagai daging hidupan liar yang sudah dilapah.

DAGING hidupan liar siap dilapah.
DAGING hidupan liar siap dilapah.

"Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bera untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dalam satu lagi kes terbaharu, dua pemburu haram warga Kemboja diberkas hasil operasi oleh pasukan Sparta Perhilitan di Taman Negara Terengganu.

Operasi menjejaki pemburu haram terbabit turut disertai tujuh anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Panthera Malaysia.

Hasil operasi itu Perhilitan berjaya memberkas dua individu warga Kemboja berusia 40-an yang berada secara haram di dalam taman negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 7:01 AM