KIJANG yang dibunuh pemburu haram ditemui anggota Perhilitan
KIJANG yang dibunuh pemburu haram ditemui anggota Perhilitan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tunggang motosikal dari Thailand menuju ke hutan simpan di Gua Musang, Kelantan, untuk memburu haiwan secara haram?

Itu persoalannya apabila pihak berkuasa menemui dua motosikal bernombor pendaftaran negara jiran milik tiga lelaki yang dikesan menjerat dan membunuh seekor kijang di lokasi itu.

Kumpulan pemburu haram itu bagaimanapun kempunan memakan daging kijang ditangkap apabila disergah anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan pemburuan haram dipercayai dilakukan warga asing itu ditumpaskan susulan tindakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Timur di Hutan Simpan Kekal Lebir, Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata, dalam operasi jam 3.30 petang semalam, enam anggota dan pegawai penguatkuasa Perhilitan melakukan rondaan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar hutan simpan itu.

"Semasa rondaan, mereka terserempak dua motosikal bernombor pendaftaran Thailand diletakkan berhampiran sungai.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan itu kemudian menemui tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, semua lelaki terbabit bertindak lari ke dalam hutan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi itu menemui parang, beg galas dan dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

"Malah kami turut menemui seekor kijang yang sudah mati dan dilapah oleh suspek. Semua barangan dirampas itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Kuala Krai untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Saya yakin kesemua individu terbabit adalah pemburu haram yang menyasarkan hidupan liar di hutan negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:01 AM