MASIH menanti tawaran watak yang benar-benar tinggalkan kesan kepada penonton.
MASIH menanti tawaran watak yang benar-benar tinggalkan kesan kepada penonton.
Ridzuan Abdul Rahman


Hati isteri mana tidak gembira dengan pengakuan ikhlas sang suami yang berjanji akan kekal setia bersamanya sehingga akhir hayat.

Kenyataan pelakon Pekin Ibrahim yang tidak memikirkan wanita lain selain isteri dan anaknya ternyata melegakan Mona Allen.

Bagaimanapun, Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, 38, tidak mahu terbuai atau terlalu selesa dengan keadaan ini.

"Alhamdulillah... kita doakan yang baik-baik saja untuk keluarga kecil kami ini.

"Kita pun tak tahu apa yang akan terjadi pada kemudian hari. Apa-apa pun... saya minta doakan yang baik-baik," katanya dalam nada merendah diri.

Pelakon drama popular Hati Yang Dikhianati ini berkata, kehidupannya kini beroleh nikmat anugerah terindah dengan kelahiran cahaya mata sulung iaitu Petra Pekin (Mohd Izhan Ibrahim).

"Bagi saya sepanjang perkahwinan itu adalah anugerah terindah. Kami berkahwin lebih tiga tahun, maksudnya tahun ini masuk empat tahun.

"Kira tiga tahun lebih barulah saya mengandung dan dapat anak. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan oleh kami berdua.

"Setakat ini alhamdulillah karier saya masih berjalan dengan baik. Lepas bersalin dan semasa dalam pantang pun masih ada juga tawaran daripada penerbit yang nak saya berlakon," katanya.

Memikirkan tanggungjawab sebagai ibu serta tumpuan kepada Petra yang sedang membesar, Mona mengetepikan tawaran ini buat sementara waktu.

"Saya betul-betul sibuk menguruskan Petra yang kini usianya dah masuk tujuh bulan. Jadi, saya berehat sekejap daripada lakonan.

DI SAMPING suami dan anak. Mona berehat sementara daripada lakonan untuk tumpukan perhatian kepada zuriat.
DI SAMPING suami dan anak. Mona berehat sementara daripada lakonan untuk tumpukan perhatian kepada zuriat.

"Insya-Allah kalau masih diterima selepas ini, saya tetap sambung berlakon macam biasa. Rasanya saya masih boleh bawa watak seperti sebelum ini.

"Cuma sebagai seorang ibu mungkin saya rasa berlainan sedikit untuk berlakon watak gedik dan tidak lagi terima. Untuk watak yang biasa okey saja. Kalau yang tak sesuai, saya tak ambillah," katanya.

Mengikuti perkembangan kariernya sebelum ini, Mona banyak terbabit dengan drama bersiri.

Menurutnya, ketika itu dia tidak mempunyai banyak komitmen selain hanya menjadi seorang isteri.

"Pekin pun sibuk dengan kariernya. Itu sebabnya saya suka berlakon drama bersiri yang tempoh pengambaran agak panjang. Memang sentiasa sibukkan diri.

"Berbanding telefilem selalunya shooting seminggu hingga 10 hari saja. Jadi saya suka drama bersiri kerana penggambaran panjang, selain suasana jumpa orang yang sama.

"Saya belum mempunyai pencapaian terbaik dalam lakonan. Maksudnya masih lagi mencari-cari. Tak dapat lagi drama yang saya rasa betul-betul orang nampak.

"Alhamdulillah juga...saya tetap dikenali. Pergi mana masih lagi orang tahu dan menegur," katanya.

Seperti artis lain, Mona juga mempunyai cabang pendapatan lain dalam perniagaan.

"Saya pun ada perniagaan sampingan dengan suami antaranya pewangi kereta. Ia dah lama dijalankan dan sekarang banyak cabang lain.

"Saya seorang ibu dan 'businesswomen' yang sebenarnya agak sibuk juga. Terbaharu saya kini keluarkan tudung bawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:00 AM