ANUAR bakal beraksi dalam Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds. FOTO Aswadi Alias
ANUAR bakal beraksi dalam Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds. FOTO Aswadi Alias
Norhayati Nordin


MESKIPUN pernah dilabel sebagai penyanyi lelaki yang menerima bayaran 'mahal' untuk menyanyikan beberapa lagu dalam persembahannya, namun kemunculan Anuar Zain, 53, tetap ditunggu ramai.

Sebut saja nama figura ini, lagu popularnya seperti Keabadian Cinta, Sesuci Cintamu, Lelaki Ini dan Sedetik Lebih terus menerjah fikiran. Apatah lagi, alunan melodi, lirik dan lontaran vokal Anuar cukup 'mengena' serta enak didengar.

Bertemu Anuar baru-baru ini, dia yang masih aktif menyanyi bakal tampil bersama kumpulan pemuzik orkestra dari Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dalam konsert amal, Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Istana Budaya pada 20 Mei depan.

Persembahan bermula jam 8.30 malam itu memberi peluang Anuar muncul sebagai bintang undangan yang akan menyanyikan tiga lagu.

Katanya, dia sangat teruja untuk menyanyi dengan iringan barisan pemuzik orkestra remaja.

"Sebenarnya, saya baru tahu mengenai aktiviti seni pelajar di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya ini. Mereka (pelajar) yang terpilih bermain muzik ini memang berbakat dan saya akan terus memberi sokongan padu. Bukan apa, kehadiran mereka yang masih muda di dalam industri penting untuk menjadi pelapis.

"Ditambah, mereka ini bukan calang-calang bakatnya. Melihat mereka menunjukkan sedikit persembahan bermain muzik, sudah meremang bulu roma di tangan hingga ke tengkuk saya. Malah, difahamkan mereka sudah banyak bertanding bermain muzik di luar negara.

"Bahkan, mereka juga banyak membawa kemenangan kepada negara ketika pertandingan di luar negara itu. Sebagai penghibur berpengalaman, saya akui bangga dan tidak sabar nak beraksi di pentas bersama mereka," katanya.

Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds dianjurkan Sekolah Seri Puteri Cyberjaya untuk mengumpul dana bagi penyertaan ke pertandingan International Orchestra Festival & Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September depan.

HARAP sambutan baik, Anuar akan menyanyikan tiga lagu. FOTO Aswadi Alias
HARAP sambutan baik, Anuar akan menyanyikan tiga lagu. FOTO Aswadi Alias

Ditanya mengenai lagu akan dinyanyikan, Anuar yang pernah dikenali sebagai pelakon berkata, dia dijangka mendendangkan tiga lagu dan ia masih dalam pemilihan.

Menurut adik penyanyi Ziana Zain ini, dia cuba memilih lagu sesuai untuk dibawakan bersama orkestra.

"Saya akan pastikan lagu dinyanyikan itu disukai dan menghiburkan penonton yang hadir nanti. Bahkan, pemuzik remaja ini juga dapat memainkan melodinya dengan baik kerana saya amat yakin mereka mampu melakukannya dengan berkesan.

"Pembabitan dalam konsert di Istana Budaya ini juga pengalaman berharga mereka. Saya percaya mereka akan membuat terbaik kerana sudah terlatih. Harapan saya agar konsert amal ini berjaya memenuhi objektif untuk mengumpul dana diperlukan itu.

"Saya juga berharap banyak pihak akan tampil memberi sokongan kepada pemuzik muda ini kerana mereka khazanah negara. Mereka akan menjadi peneraju industri seni pada masa mendatang. Jadi, seharusnya bakat seni pemuzik-pemuzik muda kita dihargai dari sekarang," katanya.

Anuar berkata, seperti resam 'tiada lama, tiada baru'. Oleh itu, dia amat berharap usaha murni yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu berjalan lancar mengikut apa yang sudah dirancang penganjur.

ANUAR masih laris walaupun dikatakan bayaran persembahannya ‘mahal’. FOTO Aswadi Alias
ANUAR masih laris walaupun dikatakan bayaran persembahannya ‘mahal’. FOTO Aswadi Alias

Tiada masalah untuk serasi

Bakal bekerjasama dengan remaja perempuan berusia 14 hingga 17 tahun dalam konsert itu, Anuar tidak nafikan dia berhadapan debaran juga. Katanya, maklum saja ia kerjasama kali pertama dan mereka belum saling mengenali dengan rapat.

Katanya, perasaan malu-malu itu sudah tentu ada. Tetapi, dia percaya kesemua remaja berkenaan profesional, komited dan bersungguh-sungguh dengan tanggungjawab mereka yang meminati muzik.

"Saya okey saja nak bekerjasama dengan sesiapa. Malah, saya yakin dapat mewujudkan keserasian padu di antara kami. Ini kerana, ketika saya menegur mereka, ia tidak dipandang sepi, tetapi dibalas pantas. Dari situ, saya dapat rasakan kami boleh serasi bekerjasama.

"Mulanya saya risau juga kalau-kalau mereka buat tak layan apabila ditegur. Tapi, sangkaan itu meleset kerana mereka semua okay saja berbual dengan saya. Cuma, kami perlukan masa dan insya Allah, semuanya akan lancar. Lagi pula, mereka remaja cerdas dan bijak," katanya.

Berbicara karier seninya, Anuar berkata, dia merancang akan terbabit dengan satu konsert solo. Jelasnya, ramai juga peminat yang bertanya dan sayang juga sekiranya tidak direalisasikan. Apapun, segala perkembangan lanjut konsert itu akan dimaklumkan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:00 AM