ANUAR Zain. FOTO arkib NSTP
ANUAR Zain. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Anuar Zain, 53, mengakui dia berasa seronok dan tenang ketika menyertai aktiviti bersama jemaah tabligh sejak 2021 lalu.

Anuar berkata, dia masih menyertai aktiviti bersama mereka jika ada kelapangan masa. Kali terakhir dia menyertai aktiviti keagamaan itu ialah beberapa bulan lalu.

"Saya masih lagi mengikut jemaah (tabligh), tapi sekiranya ada kelapangan masa. Seronok dan tenang kalau dapat sertai aktiviti keagamaan yang dilakukan bersama-sama," katanya.

Anuar berkata, sekiranya tidak terikat dengan kerja seni, dia berhasrat untuk menyertai aktiviti mereka lagi.

"Saya tak boleh ikut selalu sebab kerja hakiki sebagai artis, cari makan dalam karier seni sebagai penyanyi. Jadi, saya kena tengok masa yang terluang juga," katanya.

Anuar mula aktif mengikuti aktiviti bersama jemaah tabligh sejak 2021 lalu. Malah, pernah tular video dia dan pelawak, Nabil Ahmad bersarapan bersama jemaah tabligh di sebuah masjid di Selangor.

Sementara itu, Anuar juga berhasrat mahu mengerjakan solat terawih di beberapa masjid berasingan sepanjang Ramadan ini.

Anuar berkata, dia juga mahu mengajak rakan rapatnya yang berminat untuk turut serta.

Katanya, ia aktiviti menyeronokkan untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang menjelma tidak lama lagi.

"Seronok sebenarnya kalau dapat menunaikan solat terawih di masjid-masjid berasingan. Tidaklah hanya berterawih di masjid yang sama saja.

"Sayanglah kalau kita tak buat solat terawih penuh. Jadi, saya tak mahu lepaskan peluang ini macam tu saja. Malah, satu pengalaman baru juga kalau dapat berterawih di masjid-masjid berbeza," katanya.

Anuar berkata, dia juga akan mengerjakan solat terawih di rumah bersendirian sekiranya tidak berkesempatan melakukannya secara berjemaah di masjid kerana urusan kerja.
Dalam perkembangan lain, Anuar akan terbabit sebagai penyanyi undangan dalam konsert amal, Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Istana Budaya pada 20 Mei ini, jam 8.30 malam.

Konsert anjuran Sekolah Seri Puteri Cyberjaya itu mendapat sokongan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi mengumpul dana untuk penyertaan ke pertandingan International Orchestra Festival & Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 12:57 PM