SHARON harap pemain badminton muda akan mengikut jejak Tze Yong. FOTO Bernama
SHARON harap pemain badminton muda akan mengikut jejak Tze Yong. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi ditunjukkan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong ketika menyingkirkan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada saingan Seluruh England, malam tadi perlu diikuti oleh skuad badminton negara yang akan beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja.

Timbalan ketua kontinjen negara (CDM) ke Kemboja, Sharon Wee berkata, pemain negara perlu menjadikan Tze Yong sebagai contoh yang mana dia tidak gentar meskipun perlu berhadapan dengan lawan yang mempunyai kedudukan ranking yang lebih tinggi.

"Saya harap pemain badminton muda akan mengikut jejak Tze Yong. Atlet perlu percaya kepada proses latihan dan diri mereka sendiri kerana apa jua boleh berlaku dalam sukan asalkan kita beri 150 peratus di dalam gelanggang," katanya ketika mengadakan lawan sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Tze Yong mencipta sensasi apabila mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2022 di pusingan kedua semalam.

Bagaimanapun Tze Yong dipaksa berkerja keras sebelum menang dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-9, 21-23 yang memakan masa satu jam sembilan minit.

Tambah Sharon lagi, dia percaya pencapaian yang dilakar Tze Yong mampu meningkatkan emosi dan mental pemain muda negara yang akan menggalas tanggungjawab di Kemboja.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Wong Choong Hann, berkata skuad negara meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya memenangi satu pingat emas pada Sukan SEA kali ini.

"Kami ada berbincang sebelum ini berkemungkinan satu emas. Mengenai prospek itu ia mungkin hadir daripada acara perseorangan lelaki atau berpasukan lelaki tapi ia juga bergantung dengan pasukan mana kita bertemu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 3:32 PM