AKSI Tze Yong di All England. FOTO Reuters
AKSI Tze Yong di All England. FOTO Reuters
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui dia sudah memberi aksi yang terbaik ketika tewas kepada wakil China Li Shi Feng di suku akhir kejohanan Seluruh England semalam.

Menurut Tze Yong bagaimanapun ia masih belum mencukupi buat dirinya untuk mengatasi pemain ranking ke-14 dunia itu sekali gus gagal melayakkan diri ke separuh akhir pada aksi pertamanya di kejohanan tertua dunia itu.

"Saya rasa saya terlampau ghairah daripada mula permainan sebab sudah melakukan persediaan rapi sebelum aksi ini.

"Malah semuanya bermula dengan baik pada awal permulaan kedua-dua set. Namun pada penghujung aksi saya sedikit tertekan dan tewas," katanya ketika ditemui wakil Badminton Dunia selepas perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, pemain ranking ke-28 dunia itu ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 11-21, 11-21 kepada Shi Feng dalam aksi yang memakan masa selama 41 minit.

Keputusan itu menyaksikan Tze Yong masih gagal mendapatkan formula untuk mengatasi pemain China itu, apabila tewas dalam kesemua empat pertemuan antara mereka sejak 2017.

Dalam pada itu Tze Yong percaya penampilan pertamanya di kejohanan besar seperti Seluruh England memberikan pengalaman berguna buat dirinya untuk kejohanan yang akan datang.

"Banyak perkara yang saya belajar di kejohanan ini. Jadi saya harap pengalaman ini dapat digunakan bagi kejohanan yang akan datang," ujarnya.

Selepas ini, Tze Yong dijangka akan menyertai Terbuka Switzerland yang dijadual diadakan bermula 21 Mac ini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 2:07 PM