ZII Jia teruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
ZII Jia teruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak berhadapan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Australia apabila menumpaskan wakil tuan rumah Rio Agustino pagi tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Quay Centre, Sydney itu menyaksikan Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan mempamerkan aksi konsisten sebelum memastikan kemenangan berpihak kepadanya 21-9, 21-11.

Namun, menanti pemain yang berada di ranking kedua dunia itu di pusingan kedua adalah wakil dari China, Lu Gang Zu yang sebelum ini menumpaskan lawannya dari Indonesia, Tommy Sugiarto 21-18,21-17.

Mengikut rekod, jaguh Asia itu kembali semula dan diletakkan pilihan pertama kejohanan setelah ketiadaan juara sukan Olimpik, Viktor Axelsen, serta beberapa lagi pemain yang turut menarik diri seperti pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie serta pemenang pingat emas sukan Komanwel, Lakshya Sen.

Zii Jia perlu sekurang-kurangnya mara sehingga ke separuh akhir dalam usaha untuk menaikkan mata ranking Jelajah Dunianya ke dalam kelompok lapan terbaik bagi merebut tiket terakhir ke saingan Akhir Jelajah Dunia yang dijadualkan berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember.

Setakat musim ini, Zii Jia sudah meraih dua gelaran iaitu di Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada April lalu selepas menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie, 21-17, 23-21.

Satu lagi gelaran diraihnya adalah di Terbuka Thailand di Bangkok pada Mei, menyaksikan dia menundukkan pemain China, Li Shi Feng 17-21, 21-11, 23-21 dalam tempoh satu jam 10 minit.

Sementara itu, turut mengikuti jejak langkah Zii Jia adalah seorang lagi pemain perseorangan profesional lelaki negara, Soong Joo Ven yang menumpaskan lawan dari Australia Adam Dolman 21-12,21-12.

Selain itu tiga lagi wakil negara membabitkan pemain muda Ng Tze Yong beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei turut mencatatkan kemenangan bertemu lawan masing-masing sekali gus menempah tiket ke pusingan kedua esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 6:25 PM