MOHAMAD Adam  menjaga ibunya yang terlantar lumpuh sebelah tubuh selepas diserang angin ahmar  di rumahnya di Kampung Laut 1, Tumpat.
MOHAMAD Adam menjaga ibunya yang terlantar lumpuh sebelah tubuh selepas diserang angin ahmar di rumahnya di Kampung Laut 1, Tumpat.
Siti Rohana Idris


SEORANG anak sanggup berkorban demi ibu yang sakit di kampung apabila memberi notis 24 jam untuk berhenti kerja walaupun mempunyai kerjaya selesa di sebuah syarikat telekomunikasi di Shah Alam, Selangor.

Pengorbanan itu dilakukan, Mohamad Adam Nasradin, 25, untuk kembali ke negeri asal bagi menguruskan ibunya, Haizan Che Mohamed, 63, yang diserang angin ahmar sejak Februari lalu.

Kini Mohamad Adam yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik bersama abangnya, Mohamad Fahmi, 30, bergilir-gilir menguruskan ibu mereka yang terlantar kerana lumpuh sebelah badan.

Mohamad Adam berkata, ia adalah kali kedua ibunya diserang penyakit itu selepas kali pertama lebih setahun lalu, namun serangan kali ini menyebabkan ibunya tidak mampu berjalan dan lumpuh sebelah kiri badan.

“Adik beradik yang lain sudah berumah tangga dan menetap di luar Kelantan, jadi atas sebab itu saya mengambil tanggungjawab menguruskan emak sepenuh masa.

“Setiap hari, rutin saya bermula dengan menyuap emak makan kerana dia seorang kidal dan tidak dapat menyuap menggunakan tangan kanan.

“Untuk mandi pula, saya perlu mengangkat emak dan meletaknya atas kerusi roda sebelum dimandikan dalam bilik air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laut 1, di sini, baru-baru ini.

Katanya, tanggungjawab itu perlu dipikulnya kerana bapanya, Nasradin Salleh, 70, juga sudah uzur dan tidak mampu menguruskan isterinya seorang diri.

PUI (kiri) ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada Haizan  yang lumpuh sebelah tubuhnya.
PUI (kiri) ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada Haizan yang lumpuh sebelah tubuhnya.

Terdahulu, Haizan menerima kunjungan ahli badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang hadir menyampaikan sumbangan lampin pakai buang.

Sumbangan itu diserahkan oleh Pengerusinya, Pui Tiong Lam yang turut berjanji akan mengagihkan bantuan itu secara bulanan.

Ketika ditanya sama ada timbul atau tidak perasaan menyesal kerana melepaskan kerjaya di syarikat tempatnya bekerja sebelum ini, Mohamad Adam berkata, keputusan itu diambil selepas memikirkan semasak-masaknya malah tidak kesal demi membalas jasa ibunya.

“Saya turut berdoa semoga emak akan sembuh suatu hari nanti dan saya mampu kembali bekerja demi masa depan.

“Buat sementara ini, biarlah saya terus berkorban bagi memastikan emak tidak terabai dan sudah semestinya sebagai anak wajib menjalankan tanggungjawab menjaganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:40 AM