Ibrahim bersama ibu saudara yang dianggap seperti ibu sendiri, Asmah. FOTO Ihsan Ibrahim Wahid
Ibrahim bersama ibu saudara yang dianggap seperti ibu sendiri, Asmah. FOTO Ihsan Ibrahim Wahid
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Saya tidak akan biarkan emak hidup sendirian dan akan menjaganya biarpun dia hanya ibu saudara tetapi saya sudah menganggapnya seperti ibu kandung yang tanpa lelah mencari rezeki membesarkan saya sejak kecil."

Demikian luahan Ibrahim Wahid, 30, yang mendapat perhatian di TikTok selepas perkongsian videonya membawa ibu saudara dipanggil emak menjamu selera di kedai makan meraih tontonan ramai netizen yang turut memuji peniaga nasi lemak itu dan keluarga kerana melayani ibunya dengan baik.

Video berkenaan memaparkan Asmah Harun, 86, yang tidak berdaya berjalan dan juga pesakit angin ahmar menjamu selera di dalam kereta sementara Ibrahim bersama keluarga di meja berhampiran kenderaan itu.

Ibrahim berkata, ibu saudara menjaga dia dan lima lagi adik-beradiknya dengan penuh kasih sayang sejak kecil selepas ibu bapa kandung berpisah, manakala seorang lagi dijaga keluarga angkat.

Menurutnya, Asmah yang kematian suami tidak mempunyai zuriat sendiri dan bekerja keras demi membesarkan mereka enam beradik ketika muda dahulu dengan melakukan beberapa pekerjaan seperti menoreh getah, mengajar agama dan menjual makanan ringan seperti aiskrim buatan sendiri.

"Emak mula sakit sejak 2011 dan dia sudah tidak berdaya berjalan serta menguruskan diri. Emak juga memakai lampin pakai buang dan dia perlu dibantu untuk membersihkan diri.

"Emak sudah tidak sekuat dahulu dan kini sudah sampai masa saya pula menjaganya. Saya suka membawa emak keluar bersiar-siar kerana mahu dia menghirup udara segar dan melihat persekitaran selepas asyik duduk di rumah saja.

"Walaupun emak jarang mahu ikut keluar kerana bimbang akan menyusahkan kami tetapi saya tetap ajak kerana tidak mahu meninggalkannya di rumah sendirian. Kalau pergi makan di luar saya memang akan cari kedai yang tempat parkir kereta dekat dengan meja supaya kami boleh makan bersama.

"Emak memang lebih suka dan selesa duduk di dalam kereta saja, malah dia sendiri minta begitu sebab itu dalam video TikTok emak makan di situ, manakala kami di meja makan yang dekat dengan kereta," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia dan adik-beradik lain sepakat menguruskan ibu dengan baik dan masing-masing mempunyai tugasan sendiri membantu pengurusan dan keperluan wanita tersayang itu.

"Sebelum ini saya bekerja kilang di Kajang, Selangor tetapi ambil keputusan pulang ke kampung menetap bersama emak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekarang menjual nasi lemak Abang Satria RM1 di kawasan perindustrian Kampung Acheh setiap hari sambil menjaga emak tetapi isteri (Siti Suziana Zamri) dan adik (Nurul Izzati Wahid) yang banyak menguruskannya di rumah," katanya selalu berhubung dengan ibu kandungnya.

Berhubung videonya di TikTok, Ibrahim berkata, dia tidak menyangka video itu menarik perhatian netizen yang banyak memberi kata positif dan mendoakan mereka, sekali gus membuatkan dia serta ibunya, Asmah terharu.

"Apa yang saya dan isteri buat ini tak terbalas jasa emak yang sudi menjaga kami dengan baik seperti anak sendiri dan kini masa saya pula menjaganya. Saya akan bersamanya sehingga akhir hayat," katanya.

Sementara itu, Asmah mengakui dia sudah menganggap anak saudara seperti anaknya sendiri biarpun tidak melahirkan mereka dan bersyukur.

Katanya, dia juga gembira semua anaknya sudi menjaga serta melayaninya dengan baik dalam keadaan dia sudah tidak berdaya, namun mengakui dia agak segan apabila video mengenainya mendapat perhatian ramai netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 12:52 PM