AHMAD Syahrul Fitri (kiri) berhenti kerja  di hotel kerana mahu menjaga  bersama ibunya, Rohani yang kini buta. FOTO Ahmad Syahrul Fitri
AHMAD Syahrul Fitri (kiri) berhenti kerja di hotel kerana mahu menjaga bersama ibunya, Rohani yang kini buta. FOTO Ahmad Syahrul Fitri
Redzuan Muharam


"WANG simpanan semakin berkurangan, jadi saya tiada pilihan kecuali menggadaikan rantai kepunyaan emak, semalam, untuk membeli barangan dapur untuk dibuat lauk," kata Ahmad Syahrul Fitri Mohamad Ghani, 20.

Ahmad Syahrul Fitri memberi reaksi itu berikutan kepayahan hidup dilaluinya bersama empat adik-beradik lain selepas terpaksa menjaga ibu mereka, Rohani Yusof, 44, yang menghidap barah akibat ketumbuhan di kepala.

Rohani pula seorang ibu tunggal selepas berpisah dengan suami hasil perkahwinan keduanya pada 2018 lalu.

Menurut Ahmad Syahrul Fitri, dia sekeluarga tidak menerima mana-mana bantuan setakat ini dan perlu menyara hidup yang serba kekurangan.

"Kami kini tinggal menyewa di rumah setinggan bersama ibu, abang, kakak ipar dan dua adik tiri yang berusia tujuh hingga 11 tahun.

"Kami sekeluarga tidak mendapat mana-mana bantuan setakat ini dan perlu membayar sewa bulanan rumah sebanyak RM300, termasuk bil air manakala elektrik perlu dibayar berasingan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan lanjut kehidupannya menjaga ibu, Ahmad Syahrul Fitri berkata, dia yang juga anak keempat daripada lima beradik tidak lagi bekerja kerana mahu fokus menjaga ibunya.

"Sejak kecil lagi emak membesarkan saya dan adik-beradik lain. Jadi tibalah masa saya menjaganya apabila dia sakit.

"Penyakit yang dihidapi menyebabkan emak buta dan gagal melihat semula walaupun selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kiri kepala minggu lalu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor," katanya yang menetap di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, Johor.

Ahmad Syahrul Fitri berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai pembantu penyedia hidangan di sebuah hotel sebelum berhenti kerja kerana mahu menjaga ibunya.

"Emak pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah asrama namun berhenti kerja akibat masalah kesihatan dialami.

"Setahu saya, dia hanya menghidap penyakit darah tinggi sebelum ini. Emak pernah mengadu pening kepala tetapi kesihatannya semakin terganggu selepas mengalami demam yang berlarutan selama tiga hari pada bulan lalu.

"Ketika itu, penglihatannya tiba-tiba menjadi kabur sebelum buta sepenuhnya. Mulanya, saya membawa emak menjalani pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum dirujuk ke HSA.

"Doktor kemudian mengesahkan emak menghidap barah pada 26 Julai lalu," katanya.

Menceritakan rutin hariannya, Ahmad Syahrul Fitri berkata, dia dan abang sulungnya, Ahmad Amirul Iskandar, 24, yang akan memimpin ibu mereka untuk bergerak di dalam rumah manakala kakak iparnya, Nur Anissa Mohammad Darus, 21, mengambil alih tugas memasak.

"Selain menguruskan emak, saya dan abang perlu memastikan dia memakan ubat mengikut waktu ditetapkan.

"Cuma menjadi masalah apabila kediaman kami hanya memiliki tandas cangkung dan ia perlu ditukar kepada tandas duduk berikutan keadaan emak," katanya.

Ahmad Syahrul Fitri memasang hasrat melakukan pengubahsuaian di rumah, namun tidak dapat dilakukan berikutan mereka ketiadaan wang, tambahan pula dua adik yang masih bersekolah.

"Diharap, ada pihak yang sudi membantu, sekurang-kurangnya menyumbang kerusi roda dan memberi dana untuk mengubahsuai tandas demi keselesaan emak," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0114941100004820 atas nama Ahmad Syahrul Fitri Mohamad Ghani atau menghubunginya di talian 011-11310916.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 5:25 PM