Menara Masjid Tok Pulai Chondong berusia 165 tahun yang terletak di Kampung Suraudi sini, masih utuh dan tersergam indah sehingga sekarang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Menara Masjid Tok Pulai Chondong berusia 165 tahun yang terletak di Kampung Suraudi sini, masih utuh dan tersergam indah sehingga sekarang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Walaupun sudah berusia 165 tahun namun menara Masjid Tok Pulai Chondong di Kampung Surau di sini, masih utuh dan tersergam indah sehingga sekarang.

Imam Dua Masjid Tok Pulai Chondong, Ahmad Saifuddin Mohd Nor, 37, berkata, dinding menara setinggi 25.9 meter dengan ukur lilit 3.6 meter itu diperbuat daripada kayu cengal yang dibina secara bergotong-royong menggunakan tenaga beratus penduduk pada 1857.

Ahmad Saifuddin berkata, menara itu dibina sendiri oleh moyangnya, Abdul Samad atau dikenali sebagai Tok Pulai Chondong pada abad ke-19 dan ketika dalam proses membina menara, penduduk perlu menarik batang kayu cengal sepanjang 25.6 meter dengan jarak sejauh 15 kilometer (km) yang diambil daripada hutan berdekatan di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas ke Pulai Chondong.

"Menara ini dibina dengan bentuk segi lapan selain terdapat 25 anak tangga yang berbentuk trapezium.

"Penduduk kampung pada ketika itu membina menara ini bagi melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat dan kayu cengal digunakan disebabkan apabila azan dilaungkan ia dapat didengari dengan lebih jelas serta kuat.

"Bagaimanapun, keunikan yang terdapat pada menara ini, ia kelihatan lebih condong ke arah utara dan walaupun penduduk kampung pernah cuba menegakkannya, namun tidak berjaya dan struktur menara ini tetap kekal utuh sehingga ke kini.

"Malah, pada zaman pemerintahan Jepun, terdapat tentera Jepun yang pernah memanjat menara ini bagi melihat sendiri keunikannya," katanya ketika di temui di pekarangan Masjid Tok Pulai Chondong.

Katanya, berdasarkan sejarah dan penceritaan orang dahulu kala, pada asalnya Masjid Tok Pulai Chondong kononnya pernah dibakar oleh penduduk kampung namun menara masjid tidak terbakar dan ia mungkin disebabkan kedudukannya yang berada sedikit jauh daripada masjid.

"Akibat insiden itu, penduduk terpaksa membina surau baharu dan hanya beberapa bahagian dalam surau seperti jendela masih lagi dikekalkan dengan struktur lama iaitu yang diperbuat daripada kayu cengal. Sehingga kini masjid ini masih digunakan oleh penduduk kampung dengan beberapa pengubahsuaian.

"Surau yang dibina dua tingkat ini mampu memuatkan sehingga 700 jemaah dalam satu-satu masa namun dalam tempoh penularan pandemik Covid-19, ia hanya boleh memuatkan kira-kira 300 jemaah dengan penjarakan fizikal bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

"Bagi mengimarahkan masjid ini, pelbagai program keagamaan dihidupkan seperti kelas mengaji al-Quran serta kuliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 7:01 AM