NADIA berharap peminat filem dapat menyokong karya terbaharu lakonannya. FOTO Aziah Azmee
NADIA berharap peminat filem dapat menyokong karya terbaharu lakonannya. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Siapa sangka impian pelakon Nadia Brian untuk bekerjasama dengan Nadia Aqilah dalam sebuah filem akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka digandingkan dalam karya arahan Suhaiza Aziz berjudul Eva.

Lebih mengujakan, biarpun filem terbabit belum ditayangkan di pawagam, namun Nadia sudah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Dunia Hong Kong yang berlangsung Oktober lalu manakala Nadia Aqilah pula diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi karakter utamanya dalam filem Eva.

Selepas tujuh tahun bergiat aktif dalam dunia seni, Nadia seakan-akan tidak percaya apabila dapat bekerjasama dengan Nadia Aqilah.

"Ketika pengurus memberitahu Nadia Aqilah turut terbabit dalam filem ini, saya tidak fikir panjang dan terus bersetuju.

"Sejujurnya saya sangat mengagumi bakat lakonan Nadia dan Alhamdulillah impian saya untuk berlakon dalam sebuah karya hebat akhirnya tercapai.

"Selain Nadia, saya juga tidak boleh nafikan yang jalan cerita filem ini luar biasa. Karakter utama bernama Eva memang tidak mudah dijayakan dan saya berharap dapat peluang itu satu hari nanti.

"Dalam filem ini saya memegang karakter sebagai doktor pakar psikiatri bernama Elly. Karakter yang saya bawakan ini juga tidak kurang mencabarnya. Namun saya sudah memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan filem ini," katanya.

Tambah Nadia, kali pertama bekerjasama dengan Nadia Aqilah dia mengaku seronok dan menimba banyak ilmu baharu.

"Ketika zaman belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Diploma Teater, saya memandang tinggi lakonan Nadia dalam filem Zaiton Ceritaku yang ditayangkan pada November 2012.

NADIA teruja apabila berpeluang bergandingan dengan Nadia Aqilah.FOTO Aziah Azmee
NADIA teruja apabila berpeluang bergandingan dengan Nadia Aqilah.FOTO Aziah Azmee

"Malah saya juga pernah menonton pementasannya di Istana Budaya. Dia memiliki aura dan memberikan sepenuh fokus kepada setiap kerja yang dilakukan.

"Dalam filem ini kami banyak membantu antara satu sama lain. Kami selalu menukar pendapat apabila nak menjayakan sesuatu babak berat itu. Kami juga tidak pernah terlintas untuk menandingi antara satu sama lain.

"Malah saya dapat rasakan keikhlasan dia berlakon. Saya yakin sesiapa yang menonton pasti akan merasai dan tersentuh dengan kejujuran lakonannya dalam Eva," katanya.

Mengakui bertuah dengan peluang yang diterima, Nadia ingin berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam filem itu.

"Eva adalah sebuah karya yang hebat daripada segi jalan cerita dan sinematografi. Saya bangga dapat menjadi sebahagian dalam filem ini.

"Ketika penggambaran filem ini dijalankan kami memberikan sepenuh hati bagi memastikan karya ini mendapat tempat di hati penonton.

"Saya berharap penonton dapat menyokong filem ini dan memberikan apa saja komen melalui hasil lakonan kami. Saya sedia menerima sebarang kritikan dalam filem ini," katanya.

Selain Nadia Brian dan Nadia Aqilah, filem ini turut dibintangi Shamsul Danish, Datuk Jaluddin Hasaan, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Tony Eusoff.

EVA bantu Nadia Brian muncul Pelakon Pembantu Terbaik, penuhi impian bergandingan dengan Nadia Aqilah. FOTO Aziah Azmee
EVA bantu Nadia Brian muncul Pelakon Pembantu Terbaik, penuhi impian bergandingan dengan Nadia Aqilah. FOTO Aziah Azmee

Filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada 26 Januari ini mengisahkan Eva, Amy dan Mike sebagai individu sama, tetapi terperangkap dalam satu tubuh.

Terdahulu, Eva terpilih sebagai pemenang filem kategori 'thriller' dan 'suspense' bagi pertandingan bulanan anjuran Festival Filem Cannes.

Menerusi kemenangan itu, Eva ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2023 dan dicalonkan merebut anugerah Filem Terbaik bagi kategori 'thriller' dan 'suspense'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 7:00 AM