Nadia Brian. Foto Aziah Azmee
Nadia Brian. Foto Aziah Azmee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Nadia Brian, 31, mengaku pernah mengalami situasi pasca trauma akibat keganasan rumah tangga ibu bapanya.

Nadia berkata, sewaktu kecil dia tidak pernah terdedah dengan masalah kesihatan mental sehingga dirinya meningkat dewasa.

"Mak saya pernah menderita akibat keganasan rumah tangga selama 14 tahun dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital pada waktu itu. 

"Malah kejadian yang berlaku, pernah dipaparkan dalam sebuah program TV serta menarik perhatian bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial, Allahyarham Tan Sri Napsiah Omar pada era 90-an.

"Masalah rumah tangga yang dialami keluarga saya turut memberi kesan dan trauma kepada saya. Tapi ketika itu saya masih kecil dan tidak tahu saya mengalami masalah kesihatan mental," katanya. 

Menurut Nadia, dia percaya detik hitam yang pernah berlaku dalam kehidupan peribadinya mempunyai hikmah dan tidak pernah menyimpan dendam terhadap bapanya.

"Saya bukan nak buka aib keluarga tetapi ini adalah sebagai pengajaran terhadap isu gangguan mental. Malah, apa yang berlaku tidak membuatkan saya membenci bapa.

"Saya anggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Lagipun kejadian itu sudah lama, saya pandang positif. Buat apa nak susah hati perkara lepas. Dalam hidup ni satu saja yang saya mahukan iaitu ketenangan. Tenang itu mahal," katanya. 

Dalam masa sama, Nadia ingin mendidik orang ramai berkenaan kesihatan mental dalam filem terbaharu lakonannya berjudul  Eva.

"Sebagai pelakon saya percaya kita boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat terhadap isu kesihatan mental. Lagipun naskhah ini sarat dengan mesej positif mengenai isu ini.

"Industri seni juga kehausan cerita yang berilmiah dan bermanfaat," katanya yang memegang karektor doktor psikologi bernama Elly. 

Filem terbitan D' Alphalegacy Sdn Bhd dan arahan Suhaiza Aziz ini bakal ditayangkan pada 26 Januari ini.

Selain Nadia Brian, filem ini turut dibintangi oleh Nadia Aqilah, Shamsul Danish, Datuk Jaluddin Hasaan, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Tony Eusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:57 PM