NADIA hampir menolak untuk membintangi filem Eva gara-gara watak utamanya yang berat. FOTO Aziah Azmee
NADIA hampir menolak untuk membintangi filem Eva gara-gara watak utamanya yang berat. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


NADIA Aqilah hampir menolak tawaran untuk menjayakan watak utama dalam filem Eva yang bakal ditayangkan pada 26 Januari ini kerana watak itu amat 'berat'.

Nadia berkata, selepas membaca skrip dan mengenal pasti watak Eva yang mengalami masalah kesihatan mental, dia pada mulanya tidak sanggup.

"Saya hampir menolak tawaran ini sebab watak yang perlu dijayakan agak 'gila'. Saya cuba menghadam watak Eva ini dan berasa tidak cukup sesuai untuk memikul amanah ini.

"Lagipun ketika ditawarkan watak ini saya agak sibuk dengan aktiviti seni. Jadi, rasa tak cukup masa untuk buat persediaan. Selalunya orang teater ini memang beri masa sebanyak mana pun tetap tak bersedia juga.

"Jadi, saya pun beritahu kepada pihak produksi, mungkin mereka boleh cari pengganti lain untuk bawakan watak itu," katanya.

Bagaimanapun selepas bertemu dengan pengarah filem ini iaitu Suhaiza Aziz, Nadia akhirnya mengubah fikiran dan menyahut cabaran yang diberikan.

"Sebagai pengarah baharu saya ingin menyokong usaha yang dia berikan dalam filem ini. Dia juga bagi saya rujukan yang saya sangat suka.

"Malah, dia kerap meyakinkan saya mampu menjayakan watak ini dengan baik. Jadi, dengan sokongan pengarah, penerbit dan melihat barisan pelakon yang cukup hebat saya tidak mampu menolak lagi," katanya.

Siapa sangka, walaupun filem terbabit belum ditayangkan, tetapi Nadia sudah berjaya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Dunia Hong Kong yang berlangsung Oktober tahun lalu menerusi watak utamanya dalam filem Eva.

Kata wanita berusia 37 tahun ini, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi anugerah dalam atau luar negara, namun dia bersyukur apabila lakonannya dihargai.

NADIA tidak menyangka apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Dunia Hong Kong. FOTO Aziah Azmee
NADIA tidak menyangka apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Dunia Hong Kong. FOTO Aziah Azmee

"Pihak produksi D'Alpha Legacy akan selalu menghantar penyertaan kerana mereka percaya dengan naskhah ini, tapi apa yang mengejutkan saya adalah kemenangan saya bersama Nadia Brian yang memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik dalam festival filem ini.

"Saya akui terkejut dan menyifatkan ini adalah satu kejayaan yang luar biasa. Namun, saya akui mungkin isu yang diketengahkan dalam filem ini sangat bersesuaian dengan keadaan semasa.

"Malah watak 'split personality' yang saya bawakan juga menarik perhatian orang. Bagi saya menang atau kalah itu subjektif, tapi saya bersyukur apabila juri memilih saya," katanya.

Berdebar menantikan maklum balas peminat filem tempatan, Nadia berharap penonton tempatan dapat menyokong karya tempatan yang sarat dengan mesej positif dan mendidik orang ramai mengenai isu kesihatan mental.

"Cerita ini memang lain dan kami sudah buat yang terbaik. Saya teruja nak lihat penerimaan penonton di sini. Walaupun filem ini bukan sebuah karya yang mengikuti trend semasa, tapi isu kesihatan mental yang diketengahkan ini harus diberi perhatian. Ada banyak plot menarik yang akan membuatkan anda berasa tak selesa ketika menonton dan tak percaya isu ini wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 6:11 AM