BARISAN pelakon utama, Nadia Aqilah dan Nadia Brain pada majlis pratonton filem Eva di Dadi Cinema Pavilion.
BARISAN pelakon utama, Nadia Aqilah dan Nadia Brain pada majlis pratonton filem Eva di Dadi Cinema Pavilion.
Syafil Syazwan Jefri


Filem Eva arahan Suhaiza Aziz bukanlah satu filem biasa, sebaliknya menjunjung isu kesihatan mental yang mungkin tabu untuk diperbincangkan secara terbuka.

Menerusi filem ini, penonton dapat menyaksikan bagaimana karya filem tempatan kita berkembang sekali gus melayakkannya menggondol beberapa anugerah di pentas antarabangsa tahun lalu.

Teraju utamanya, Nadia Aqilah, Nadia Brian dan Shamsul Danish berjaya meruntun hati penonton menerusi pelbagai babak yang mencemaskan dan bermain emosi.

Bagi Nadia Aqilah, menjayakan watak sebagai wanita dengan 'split personality' bernama Eva bukanlah satu tugas mudah.

"Watak Eva ini bukan watak yang ringan. Ketika penggambaran, inilah cabaran besar yang saya hadapi setiap hari. Alhamdulillah, seluruh produksi ini umpama satu keluarga besar yang sentiasa menyalurkan semangat kepada saya.

"Ia bukan naskhah yang mudah, namun masing-masing sudah bekerja dengan ikhlas dan berikan yang terbaik. Apabila saya nampak hakikat itu, saya rasa terinspirasi walaupun ia bukanlah satu proses mudah," katanya.

Menurutnya, dia juga memiliki pengetahuan dalam kesihatan mental, namun filem ini membuka lebih banyak ruang ilmu untuk diterokainya sebagai pelakon.

"Saya sendiri tahu mengenai kesihatan mental, cuma saya tak tahu trauma apa dan bagaimana yang menyebabkan ia berlaku," katanya.

Bagi Nadia Brian yang memegang watak sebagai Elly pula, peluang untuk terbabit dalam filem Eva ini menjadi platform untuk dia menggapai impiannya.

"Peluang untuk berlakon bersama Nadia Aqilah adalah satu impian yang menjadi kenyataan buat saya. Watak Elly bukan watak yang mudah untuk disampaikan kerana dia nampak okay, tapi sebenarnya dia tidak okay," katanya.

Sementara itu, pelakon remaja, Shamsul Danish juga turut berkongsi keterujaannya di mana ini kali pertama dia membawa watak utama di dalam filem.

"Melakonkan watak itu tidak mudah dan saya sudah berikan lakonan yang sebaik mungkin," katanya.

Pengarah, Suhaiza Aziz berkongsi mengenai persiapan mereka dalam memastikan setiap aspek dalam filem Eva ini tepat kerana ia mengangkat kisah berkaitan perubatan dan perundangan.

"Kami ingin membuka mata masyarakat supaya lebih terbuka untuk berbicara mengenai kesihatan mental. Sebelum saya bersetuju untuk mengarahkan karya ini, saya dah fikirkan terlebih dulu beberapa aspek.

"Jalan paling selamat adalah kami gunakan khidmat pakar psikiatri yang berpengetahuan dalam bidang perubatan dan kesihatan mental. Dia juga adalah rakan saya ketika bersekolah.

"Selain menjalankan kajian sendiri, kalau ada sebarang keraguan, kami akan rujuk kepada pakar dan betulkannya," katanya.

Membariskan barisan pelakon hebat tanah air untuk memegang watak-watak kameo, Suhaiza berkata, itu untuk melancarkan proses penggambaran yang singkat.

"Kami menggunakan khidmat pelakon-pelakon profesional untuk pelbagai watak 'cameo' dalam filem ini antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Tony Eusoff dan ramai lagi kerana kami cuma ada 18 hari untuk menyiapkan filem ini.

"Kalau kami gunakan pelakon tambahan, kami perlu melatih mereka. Dengan pelakon-pelakon hebat ini, mereka semua sudah berpengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:45 AM