NADIA Aqilah selaku teraju utama filem ini.
NADIA Aqilah selaku teraju utama filem ini.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM tempatan terbaharu yang akan ditayangkan bermula hari ini menjadi antara filem yang saya nanti-nantikan kehadirannya.

Bukan saja pelakon-pelakon dan jalan ceritanya, satu lagi tarikan yang menarik perhatian saya adalah apabila filem ini berjaya meraih anugerah di luar negara.

Pada hemat saya, tentunya ia adalah karya yang perlu diberikan perhatian dan tidak boleh dipandang enteng.

Berbalik kepada pelakon, kita semua sedia maklum mengenai kemampuan lakonan Nadia Aqilah dan Nadia Brian, yang masing-masing turut mencipta nama di pentas teater.

Jadi, gabungan kedua-dua mereka tentunya akan memberi impak besar kepada filem ini.

Tidak hanya itu, deretan pelakon lain yang turut tampil sebagai watak 'cameo' dalam filem ini juga turut mencuri tumpuan.

Mengenai jalan ceritanya, Eva mengisahkan mengenai kehidupan wanita bernama Eva yang bertugas sebagai peguam.

Tugasnya sebagai peguam dipecahkan dengan tanggungjawabnya sebagai manusia, di mana dia kerap kali menerima pelanggan dengan kes-kes kekerasan terhadap wanita.

Setiap kali itu jugalah, kes yang dipegangnya akan menang di mahkamah, sekali gus membawa kemenangan kepada individu-individu yang sememangnya bersalah.

Di peringkat itu, saya sebagai penonton mula rasa marah terhadap watak Eva ini. Kenapa dia perlu bertindak sedemikian? Adakah dia tidak ada hati dan perikemanusiaan?

FILEM Eva: Take Me As I Am bakal ditayangkan di pawagam.
FILEM Eva: Take Me As I Am bakal ditayangkan di pawagam.

Selepas proses menonton diteruskan, saya terus disogok dengan maklumat yang masih kurang jelas, tapi mula difahami bahawa Eva ini, mempunyai masalah 'split personality'.

Dalam tubuhnya, ada tiga jiwa - Eva, Amy dan Mike. Kesemuanya memiliki personaliti dan kehendak berbeza.

Pecahan-pecahan ini membuatkan saya sebagai penonton rasa geram, tenang dan puas pada masa sama. Mungkin kerana setiap 'jiwa' yang ada dalam tubuh Eva ada identiti sendiri.

Lakonan Nadia Aqilah patut diberikan pujian kerana saya yakin, bukan mudah untuk seseorang pelakon membawakan tiga watak berbeza dalam satu masa.

Dari sudut perkembangan antara babak, saya boleh gambarkan filem Eva ini bergerak dengan terlalu perlahan.

Saya tak boleh nafikan, timbul rasa bosan saat menonton, namun, saya tetap ingin tahu apa yang bakal berlaku dalam babak seterusnya.

ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.

Tahap 'kekejaman' yang dipaparkan juga tidak kurang hebat jika kita bandingkan dengan filem bergenre sama dari luar negara.

Dari sudut pandang penonton, saya juga ingin memuji sinematografinya yang sangat berkualiti di samping gred warna dan sebagainya. Semuanya menimbulkan rasa dramatik di samping kena dengan genre cemas yang dibawakan.

Dari segi mesej yang disampaikan, jelas sekali penulis skrip dan pengarahnya ingin berkongsi mengenai isu kesihatan mental dan bagaimana trauma masa lalu boleh memberi kesan kepada seseorang individu.

Namun, saya tidak rasa bahawa durasi sepanjang tayangan, mampu menyampaikan mesej dengan lengkap, namun bermanfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 6:33 AM