PEGANG peranan karakter antagonis sedikit sebanyak buka sisi berbeza Eyra dalam lakonan.
PEGANG peranan karakter antagonis sedikit sebanyak buka sisi berbeza Eyra dalam lakonan.
Syafil Syazwan Jefri


APABILA berlakon dalam filem, sudah pasti seseorang pelakon berusaha memberikan komitmen sepenuhnya terhadap lakonan.

Bagi pelakon, Eyra Hazali, kehadiran filem pertamanya menambah satu lagi profil tambahan dalam kerjaya lakonan yang diceburinya.

Namun, timbul sedikit rasa kecewa di hati Eyra apabila beberapa babak lakonannya dalam filem terbaru, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dipotong.

“Pada awalnya, saya akui agak sedih apabila babak dilakonkan iaitu bersilat dengan Nadia Brian dalam pertarungan antara kami dipotong kerana ia sangat menarik.

“Namun, bila ada pemotongan saya fikir perlu terima dengan hati terbuka kerana mungkin ia untuk mencantikkan lagi perjalanan filem itu,” katanya.

Bercerita mengenai babak dipotong itu, ia antara elemen penting untuk memastikan penonton tidak tertanya-tanya mengenai jalan cerita filem.

“Pada pendapat saya, setiap babak adalah jawapan dan penjelasan yang membuatkan penonton tidak keliru dan tertanya-tanya. Kalau tak ada, mungkin akan nampak tergantung,” katanya.

Bercerita mengenai lakonannya dalam filem berkenaan, Eyra berkata, dia juga berterima kasih kepada Datuk A Aida selaku penerbit kerana memahami kehendak dan permintaannya.

“Saya nak berterima kasih kepada Kak Aida kerana memberi peluang berlakon dalam filem ini. Terima kasih juga kerana memahami permintaan saya.

“Ketika menerima skrip, saya saring terlebih dahulu apa yang boleh dan tak boleh dibuat antaranya, babak berkemban. Saya tidak akan melakonkan babak sebegitu.

EYRA akui agak sedih babak bersilat dengan Nadia Brian dalam Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dipotong.
EYRA akui agak sedih babak bersilat dengan Nadia Brian dalam Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dipotong.

“Walaupun sebelum ini, saya tak bertudung, tapi saya tak pakai pakaian yang terlalu terbuka begitu sebab saya tak selesa. Mujur Kak Aida faham boleh bertolak ansur,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai kerjaya seninya, Eyra menganggap ia satu permulaan yang baik untuk dirinya pada tahun ini.

“Alhamdulillah, di awal tahun ini sahaja, dah ada dua filem saya ditayangkan. Ia pada saya, satu permulaan yang baik untuk kerjaya seni diceburi.

“Sepatutnya, filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda ini ditayangkan pada tahun lalu. Tetapi, atas beberapa sebab tak dapat dielakkan, maka ditayangkan pada tahun ini dan kebetulan jarak tayangannya tidak jauh dengan filem M4M4. Jadi, Alhamdulillah, rezek saya,” katanya.

Memegang peranan sebagai karakter antagonis, sedikit sebanyak membuka sisi berbeza Eyra dalam lakonannya. Katanya, dia sudah berusaha sebaik mungkin.

“Kerana membawa karakter hitam (jahat), banyak kritikan dan kecaman yang saya terima. Tapi, bagi saya itu tak menjadi masalah kerana yang pasti mereka menonton filem dibintangi itu,” katanya.

Selain Eyra, filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda turut membariskan barisan pelakon hebat tanah air seperti Nadia Brian, Fauziah Nawi dan Datuk Fizz Fairuz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:45 AM