SARAH Suhairi akui bukan mudah cipta nama dalam industri seni, pilih hindari kontroversi. - FOTO Amiruddin Sahib
SARAH Suhairi akui bukan mudah cipta nama dalam industri seni, pilih hindari kontroversi. - FOTO Amiruddin Sahib
Norhayati Nordin


SARAH Suhairi, 22, boleh dikatakan selebriti 'bersih' daripada gosip atau kontroversi. Malah, lima tahun pembabitannya dalam industri hiburan, boleh dikira hanya beberapa kali saja nama Sarah 'panas' akibat tular.

Salah satunya, sudah tentu Sarah menjadi mangsa kecaman netizen ketika gagal di pentas Semi Final Muzik-Muzik Ke-36 (SFMM36) lalu sewaktu menyanyikan lagu Penat menggantikan rakan baiknya juga penyanyi, Andi Bernadee yang menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Tidak sedikitpun melatah dengan kecaman pedas dan pelbagai kritikan dihadapi, juara Big Stage musim pertama pada 2018 ini lebih memilih menjauhkan dirinya daripada perkara negatif. Bagi Sarah, pilihan ada ditangannya untuk memilih mana yang baik atau sebaliknya.

"Selama lima tahun saya aktif di dalam bidang seni, tak dinafikan bukan mudah untuk insan bernama Sarah Suhairi ini mampu membawa nama dan bakatnya berada pada tahap sekarang. Ia memerlukan saya mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental.

"Ditambah, sekarang ini adalah era netizen dan pengaruh utama media sosial. Mereka (netizen) akan kritik dan kecam sekiranya ada perkara yang kurang disenangi. Oleh itu, saya melihat memang kena persiapkan diri dari segi fizikal dan mental untuk kekal positif.

"Bukan hanya itu, saya juga sampai sekarang, masih selesa menjaga diri 'jauh' daripada gosip dan kontroversi. Saya sangat berhati-hati dengan mengambil pendekatan setiap orang yang datang dalam hidup saya, mesti ada alasannya. Saya tahu itu, dan perlu bijak membawa diri," katanya.

Mula mencipta nama dengan single pertama berjudul Pedih, Sarah yang turut menjadi perhatian pendengar muzik tempatan apabila menyanyikan versi 'cover' lagu-lagu K-Pop, mengakui dia juga lebih memilih untuk menghormati dan tidak sesekali mengaibkan orang lain dengan mudah.

Sudah menghasilkan lebih 10 lagu yang dinyanyikan secara solo dan duet setakat ini, ternyata Sarah memiliki kemantapan vokal tersendiri dalam mendendangkan lagu-lagu bergenre balada, pop dan moden kontemporari. Katanya, wajar untuk dia menjadi penyanyi 'versatil' dalam caranya.

"Saya okey saja apabila lagu-lagu yang dinyanyikan lebih ke depan atau diketahui peminat, berbanding kisah diri sendiri. Bagi saya, ia membuatkan semangat dalam diri berkobar-kobar untuk membuat yang terbaik dalam karier. Untuk saya, itu lebih memadai.

"Perjalanan karier nyanyian saya boleh dikata amat baik apabila ada single baharu dihasilkan. Malah, yang terkini pastinya lagu Burn, hasil ciptaan komposer Apipapol dan liriknya ditulis oleh kami berdua. Saya 'happy' (gembira) lagu ini lebih banyak distrim.

SELESA menyanyi, fokus utama Sarah dalam karier seni. - FOTO Amiruddin Sahib
SELESA menyanyi, fokus utama Sarah dalam karier seni. - FOTO Amiruddin Sahib

"Sudah empat bulan dilancarkan, muzik video Burn di YouTube memang agak perlahan catatan jumlah tontonannya, tapi saya sangat teruja kerana pendengar memilih untuk strim lagu ini di semua pelantar penstriman muzik. Bagi saya, usaha dan kesungguhan dicurahkan dalam lagu Burn cukup berbaloi," katanya.

Memaklumkan penceritaan lagu Burn itu berkisar pada kisah wanita yang dicurangi cintanya, namun kesedihan dialami tidak terus mematahkan semangat untuk 'move on' dalam kehidupan. Sarah berkata, sebab itu, melodi dan liriknya 'catchy'.

Menurut penyanyi lagu Bicara Rasa, Rise And Fall, Mungkin dan Pasrah ini, yang pasti lagu Burn itu tidak ada kena-mengena dengan

pengalaman peribadinya sendiri. Ujar Sarah, sehingga kini dia masih belum pernah bercinta dan mempunyai teman istimewa.

FOKUS NYANYIAN, PENGACARAAN

Meskipun pernah mengembangkan bakatnya sebagai pelakon dengan membintangi drama dan telefilem, namun Sarah menyifatkan dirinya lebih sesuai bergelar penyanyi atau menimba pengalaman dalam bidang pengacaraan ketika ini.

Sarah yang pernah membintangi drama seperti Sis Cuba, Salam Squad 2.0, Pak Kodi 5G serta telefiem Geng Big Stage Beraya, berkata, baginya menjadi pelakon itu sangat memenatkan. Malah, ujarnya, agak memberi cabaran juga dalam merealisasikan sesuatu karakter dan bersedia menghafal dialog.

"Saya pernah cuba berlakon drama dan telefilem sebelum ini dan rasa menjadi pelakon amat memenatkan. Apa yang saya maksudkan dengan sangat-sangat penat ialah kena menunggu lama. Selain itu, sebagai wanita bertudung, banyak benda yang saya nak jaga dan hadam.

"Sejujurnya, saya sangat menghormati pelakon-pelakon senior dan berpengalaman kerana mereka sangat hebat dalam menyampaikan watak dibawa. Saya dapati, kebanyakannya (pelakon senior) begitu bersahaja dan bijak memainkan peranan masing-masing.

"Untuk saya, mungkin masih terkial-kial untuk memahami watak dan menghafal dialog. Manakala, mereka pula memang dah tahu apa nak buat dengan skrip menjadi rujukan. Oleh itu, saya dapati kalau betul nak jadi pelakon mestilah kena ada minat dan paling utama, bakat," katanya.

Mengulas juga tawaran lakonan, Sarah berkata dia ada menerima tawaran daripada pihak produksi, namun kebanyakan watak kurang sesuai. Jadi, katanya, dia lebih rela untuk menceburi pengacaraan yang dirasa lebih sesuai dan seronok untuk melakukannya walaupun sedar tetap ada cabaran yang menanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:00 AM