Georgie Joseph


NADI seorang penyanyi sememangnya terletak pada momentum penghasilan karya, yakni lagu yang konsisten. Tanpa mengenal putus asa atau meragui bagaimana sambutannya, kelangsungan karya harus ditunaikan dengan bersungguh.

Demikianlah juga di fikiran penyanyi Amir Hasan, 25, yang enggan menoleh ke belakang dan mahu terus majukan karier seninya. Dia merasakan ia satu tanggungjawab besar buatnya terus menyajikan karya buat peminatnya.

Justeru, Amir atau nama sebenarnya Amir Abu Hasan akhinya melunaskan impian peribadi dengan pelancaran EP baru-baru ini. Diberi judul Karya, EP memuatkan empat lagu itu adalah bingkisan dari lubuk hatinya sendiri.

Menurutnya, misi utama menghasilkan EP berkenaan adalah tidak lain untuk memperkenalkan lagi corak serta identiti karyanya kepada pendengar. Dia mahu pendengar dapat gambaran tepat bagaimana identiti muzik Amir Hasan.

"Saya mula mengumpul material untuk EP ini sejak tahun lalu. Saat itu, saya memang benar-benar terdetik mahu tampil dengan karya hasil tulisan sendiri supaya pendengar akan lebih kenal corak muzik saya.

"Keyakinan saya jadi lebih menyala disebabkan lagu-lagu dihasilkan memang menggambarkan dengan tepat identiti saya. Malah saya percaya, karya dalam EP itu adalah cerminan sebenar hala tuju artistik saya.

"Sememangnya bukan mudah kerana saya perlu 'berperang' dengan fikiran sendiri untuk memilih lagu mana perlu saya muatkan dalam Karya. Ini disebabkan, saya pun ada beberapa lagu lain yang masih dalam simpanan," katanya.

AMIR Hasan puas dapat lancarkan EP sulung.
AMIR Hasan puas dapat lancarkan EP sulung.

Mengenali Amir, dia kerap tampilkan lagu yang begitu ringan melodinya namun cukup membuai perasaan. Corak lagunya ternyata cukup bertepatan buat halwa telinga pendengar yang gemarkan lagu sebegitu.

Untuk EP sulungnya itu, dia turut mengambil pendekatan serupa memandangkan dia enggan lari daripada identiti muziknya. Bagaimanapun, dia memilih untuk menggunakan konsep minimalis secara spesifik dalam Karya.

"Sebaik saya memutuskan untuk hasilkan EP itu, saya memang sudah ada konsep tepat dalam fikiran. Saya mahukan lagu-lagu yang dimuatkan bercorak santai tapi melodinya tetap mampu buat pendengar hanyut.

"Sebagaimana konsepnya yang minimalis, saya juga tidak menggunakan banyak instrumen dalam susunan muziknya. Bagi saya, suntikan sederhana dan susunan tidak terlalu berat itu menjadikan lagu-lagu berkenaan lebih indah," katanya.

Dilancarkan pada 14 Januari lalu, Amir juga cukup gembira apabila maklum balas pendengar terhadap EP itu sangat memberangsangkan. Bahkan, menurutnya pendengar juga terkejut dengan corak lagunya yang nyata variasi.

"Selama ini mereka mungkin ingat corak lagu saya tertumpu kepada satu genre saja. Disebabkan itu, pendengar terkejut dengan variasi genre yang saya suntik dalam lagu-lagu kali ini dalam EP Karya," katanya.

Cukup berani mempertaruhkan EP berbanding melancarkan lagu demi lagu, Amir berkata dia tidak perlu tunggu masa lama berbuat demikian. Dia akui sudah sampai masanya untuk dia mengorak lebih yakin dengan sajikan lebih banyak lagu.

Bagaimanapun, dia tidak mahu mengehadkan strategi promosi kepada EP itu semata-mata. Dia tetap ambil kira aspek komersial dengan mempertaruhkan lagu Lelaki Biasa sebagai single utama untuk dipromosikan.

"Sekarang ini, saya sebolehnya memang mahu promosikan EP itu sepenuhnya kerana mahu pendengar tahu kesemua empat lagu di dalamnya. Namun, saya perlu sebuah lagu yang boleh dimainkan meluas dalam arus perdana.

"Maka, saya utamakan lagu Lelaki Biasa itu untuk dipromosikan dan pada masa sama supaya peminat tahu saya ada lagu baharu. Saya harap secara tidak langsung akan menarik perhatian mereka mendengar EP penuh saya itu," katanya.

Terbuka cuba cabang seni lain

Selain aktif sebagai penyanyi, Amir juga tidak mahu hadkan pembabitan seninya dalam cabang muzik semata-mata. Hakikatnya, dia sentiasa mahu mencabar kemampuan untuk cuba menguasai cabang seni lain.

Pernah berlakon dan mengacara sebelum ini, dia mengakui tidak henti mencuba nasib untuk lebarkan sayap sebagai anak seni. Baginya, setiap tawaran yang diberikan pasti membuka laluan lebih luas untuk membina namanya.

"Kebelakangan ini memang saya banyak tertumpu menghasilkan lagu sendiri mahupun penyanyi lain. Saya akui banyak lagi perlu ditingkatkan daripada segi buat muzik tapi bersyukur khidmat saya tetap jadi pilihan.

MAHU terus cabar bakat seninya tanpa terhad sebagai penyanyi sahaja.
MAHU terus cabar bakat seninya tanpa terhad sebagai penyanyi sahaja.

"Bagaimanapun, saya enggan terlalu terperuk dalam cabang muzik saja. Apalagi saya sendiri masih muda, saya ingin terus cabar diri dalam mencuba nasib sebagai pelakon, pengacara, mahupun tawaran seni lain.

"Saya juga tidak putus asa untuk menghadiri pelbagai uji bakat bagi meluaskan lagi skop kerjaya. Saya harap akan dapatlah tawaran daripada cabang seni lain kerana saya memang bersungguh nak kembangkan bakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir juga berharap tahun ini menjadi tahun pembawa lebih banyk rezeki untuknya. Gigih mengukuhkan namanya sebagai penyanyi, dia juga ingin terus memperbaiki aspek dirinya sebagai penghibur.

"Misi utama saya sekarang tentu sekali bagi memperkenal identiti muzik sebagai penyanyi. Saya juga mahu terus tingkatkan kematangan dalam segala hal berkaitan kerja dan cekap menyelesaikan setiap masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:00 AM