SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diumumkan sebagai penyanyi atau Artis Malaysia Paling Banyak Distrim Sepanjang 2020 (Spotify Wrapped) menerusi penstriman muzik Spotify.

Menerusi carta Top 5 itu, turut tersenarai penyanyi K-Clique, Faizal Tahir, YonnyBoii dan Naim Daniel.

Siti, 41, berkata dia bersyukur apabila lagu-lagu nyanyiannya didengar di mana-mana.

"Saya bersyukur sebab lagu-lagu saya masih didengari dan saya baca komen selepas Spotify umumkan bahawa peminat saya memang akan strim lagu-lagu saya. 

"Ada yang kata mereka dengar sepanjang di pejabat, dalam perjalanan iaitu dalam kereta, di rumah sepanjang hari atau sebelum mereka tidur. Ini membuatkan saya sangat-sangat terharu.


"Ini membuatkan saya lagi bersemangat untuk terus menghasilkan lagu-lagu atau album kerana saya sangat berterima kasih kerana karya saya didengar," katanya.

Menurut Siti, dia bertuah kerana lagu-lagu dan album yang dihasilkan masih mendapat biarpun ramai penyanyi baru muncul dengan lagu yang tular.

"Diakui lagu-lagu saya yang dari album terdahulu juga didengari termasuk yang sekarang ini. Apabila lagu kita ada tempat dan ruang di platform digital seperti Spotify, ini juga satu semangat untuk setiap penyanyi menerbitkan lagu.

"Platform seperti ini juga memberikan kelebihan dan kemudahan untuk peminat strim lagu," katanya.

End

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 10:48 AM