PENYERANG Maghribi, Youssef En-Nesyri melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kemenangan pasukannya mengatasi Portugal di suku akhir. FOTO AP
PENYERANG Maghribi, Youssef En-Nesyri melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kemenangan pasukannya mengatasi Portugal di suku akhir. FOTO AP
Reuters

Doha: Maghribi meneruskan kisah dongeng penuh kejutan di Piala Dunia apabila menewaskan Portugal 1-0, malam ini, untuk muncul pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir.

Mereka harus berterima kasih kepada Youssef En-Nesyri yang melonjak tinggi untuk melepasi pertahanan Portugal dan menanduk hantaran Yahya Attiat-Allah pada minit ke-42.

Bola tandukannya melepasi penjaga gol Portugal, Diogo Costa dan terlanggar pemain pertahanannya.

Portugal pula bergelut untuk melepasi benteng Maghribi untuk mencari gol penyamaan dengan Bruno Fernandes paling hampir menemui sasaran, tetapi rembatannya terkena palang gol.

Cristiano Ronaldo masuk sebagai pemain gantian enam minit selepas rehat, namun tidak mampu membantu pasukannya mengelak kekalahan.

Maghribi akhirnya layak ke separuh akhir dan akan bertemu pemenang perlawanan antara England dan Perancis.

Pemain gantian Mahgribi, Walid Cheddira dibuang padang kerana menerima kad kuning yang bermakna dia tidak boleh beraksi di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:07 AM