AFSHA (kanan) meraikan jaringan bersama rakan-sepasukan di Stadium Batouta. FOTO AFP
AFSHA (kanan) meraikan jaringan bersama rakan-sepasukan di Stadium Batouta. FOTO AFP
AFP

Tangier: Afsha menjaringkan gol pada minit ke-88 ketika kelab Mesir, Al Ahly menewaskan Seattle Sounders 1-0 untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia Kelab bertemu Real Madrid.

Dia yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua melakukan rembatan voli yang terkena kaki pertahanan lawan sekali gus mengelirukan penjaga gol Sounders, Stefan Frei.

Sebelum itu, pemain muda, Musab Al Juwayr menyudahkan sepakan penalti penting tatkala Al Hilal mengalahkan juara Liga Juara-Juara CAF, Wydad Casablanca 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas aksi diheret ke masa tambahan.

Al Hilal selepas ini akan beraksi di separuh akhir dengan menentang kelab Brazil, Flamengo.

Al Juwayr, 19, berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas sepakan Yahya Attiat-Allah gagal menemui sasaran buat kelab dari Maghribi itu.

Pemain pertahanan, Ayoub El Amloud membuka jaringan di laman sendiri sebelum rakan sepasukannya, Yahya Jabrane diperintah keluar padang pada masa kecederaan hujung perlawanan.

Pemain tengah, Mohamed Kanno menyamakan kedudukan buat wakil Arab Saudi dan mengheret aksi sehingga ke masa tambahan selepas 94 minit beraksi.

Kanno bagaimanapun menerima kad merah empat minit selepas masa tambahan bermula.

Al Juwayr mengesahkan slot buat pasukannya untuk aksi separuh akhir Rabu ini di Tangier selepas menyempurnakan sepakan penalti penting dalam penampilan yang ke-21 di peringkat senior.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 10:37 AM